Pengedar ditahan, dadah bernilai RM10,100 dirampas di Miri

MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10,100 dalam satu operasi antidadah di sini pukul 8.10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berumur 35 tahun yang menetap di Tung Sang Garden, Jalan Alpine di sini ditahan di tempat letak kereta di belakang sebuah premis perniagaan di Pusat Komersial Tebingan Sungai Miri.

“Hasil pemeriksaan badan telah menjumpai 20 papan pil warna merah dadah jenis nimetazepam seberat 53.30 gram dan satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan dadah ketamine seberat 51.05 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau didapati positif dadah setelah menjalani ujian saringan air kencing.

Menurutnya lagi, suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan fokus pengedaran dadah antaranya di sekitar lokasi suspek ditahan serta pusat karaoke.– BERNAMA