ARTIKEL

Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Jinep, ditemu-bual selepas merasmikan Bengkel Etika Wartawan 2024 anjuran PEWARTA di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

Pengembalian satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah tidak harus dirunding lagi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengembalian satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah tidak harus dirundingkan lagi kerana ia sudah tertulis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Henry Jinep.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian yang dipersetujui oleh pemimpin pengasas negara dari Sarawak dan Sabah itu harus dihormati oleh pemimpin pada hari ini, selepas selama 60 tahun ia diabaikan.

“Ini bukan tentang bersetuju, ia sudah tertulis dalam MA63, tetapi sekarang adalah untuk menghormatinya, itu sahaja.

“Ia bukan tentang sebarang rundingan lagi, tiada lagi rundingan.

“Pemimpin kita yang terdahulu telah pun berunding, tulis dan meterai tapi mengapa mereka tidak menghormatinya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas merasmikan Bengkel Etika Wartawan 2024 anjuran Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (PEWARTA) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Henry, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), berkata sudah tiba masanya perjanjian itu dihormati, dan pemimpin khususnya di Semenanjung tidak harus lagi buat-buat lupa mengenainya.

“Ada yang tak kena, atas sebab yang diketahui oleh mereka sendiri.

“Buat apa tunggu orang ketuk lagi sedangkan ia sudah dimeterai,” katanya.

Pada Majlis Ramah Tamah Mesra Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Suarah Kapit semalam, Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menuntut dikembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah bagi menjamin perlindungan hak di bawah MA63.

Katanya, pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen itu penting untuk mengelak berlaku pindaan sembarangan kepada Perlembagaan Persekutuan, memandangkan lebih dua pertiga kerusi Parlimen ketika ini berada di Semenanjung.

Abang Johari berkata, ketika pembentukan Malaysia, gabungan kerusi Parlimen dari Singapura, Sarawak dan Sabah melebihi satu pertiga.

Namun demikian, apabila Singapura berpisah daripada Malaysia, kerusi Parlimennya telah Diosis oleh Semenanjung, tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Kalau tiba-tiba MA63 hendak dimansuhkan, dengan adanya satu pertiga daripada jumlah kerusi itu, kita dapat memastikan MA63 kekal terpelihara,” katanya.

Ketika ini, Semenanjung mempunyai 165 kerusi Parlimen, manakala Sarawak diperuntukkan 31 kerusi, Sabah 25 dan Labuan 1.

Dua pertiga merujuk kepada 148 sokongan bagi meluluskan pindaan kepada Perlembagaan.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi