SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia menasihati pengendali ibadah korban untuk menjaga kebersihan dan tidak melakukan proses melapah di atas rumput, tanah atau pasir bagi menghindari risiko daging tercemar.
Penolong Pengarah Seksyen Keselamatan Makanan Hasilan Ternakan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia Dr Harizwan Thomeeran berkata haiwan korban yang ditumbang serta dilapah perlu dilakukan di atas lantai bersih dan rata serta dialas menggunakan lapik plastik.
“Tapi jika tidak boleh dielakkan, sekurang-kurangnya haiwan korban jangan ditumbangkan di kawasan tanah, berpasir serta rumput secara terus,” katanya ketika Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban 1444H Negeri Selangor (PELAPAH) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Aziz Shah di sini semalam.
Menurutnya, langkah berkenaan adalah bagi mengelakkan daging tersebut terdedah dengan risiko pencemaran yang mungkin berlaku seperti pendedahan kepada racun rumput.
“Ada kemungkinan rumput baru diracun dan lembu ditumbang dan dilapah secara terus (di atas rumput). Bahan kimia yang ada di rumput itu akan mencemarkan daging sekali gus menjejaskan kualiti serta keselamatan mereka yang makan daging tersebut,” katanya.
Dr Harizwan turut menyarankan pihak bertanggungjawab dapat memastikan hal kebersihan tempat sembelihan bagi mengelak daging sembelihan tercemar.
Beliau berkata pihaknya juga menggerakkan kira-kira 50 pemeriksa daging dari Jabatan Veterinar untuk memantau tahap kebersihan dan keselamatan daging korban khususnya di tempat yang membuat banyak penyembelihan di Selangor sepanjang pelaksanaan ibadah korban pada 10 hingga 13 Zulhijjah ini.
“Secara keseluruhan lebih 400 pemeriksa daging dari Jabatan Veterinar akan dihantar ke seluruh negeri, dengan Terengganu dan Kelantan merupakan negeri paling tinggi menerima pemeriksa dari jabatan kami,” katanya.- BERNAMA


