KUCHING: Seorang penggali kubur lelaki dijatuhi hukuman denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah memiliki harta curi kad ATM dan kad pengenalan milik seorang warga emas wanita berusia 60 tahun, Disember tahun lalu.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap pesalah muda berusia 20 tahun selepas pendengaran laporan sosial hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia memiliki barang curi itu di sebuah kawasan perkuburan Islam Semariang, Jalan Sultan Tengah, kira-kira jam 5 petang, 17 Disember 2022.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Syarifah memerintahkan tertuduh dipenjara sepuluh hari sekiranya gagal menjelaskan denda.
Menurut fakta kes, pada 16 Disember, sekitar jam 3.10 petang, setelah mangsa menziarahi kubur ayahnya mendapati beg tangan yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu telah hilang.
Barang-barang penting milik mangsa yang hilang termasuk kad pengenalan, lesen memandu, kad vaksin, dua keping kad ATM dan wang tunai berjumlah RM300.
Laporan dibuat lalu menjurus kepada penahanan seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika rondaan oleh sepasukan polis semasa pemantauan dan intipan di kawasan perkuburan terbabit pada 17 Disember 2022, sekitar jam 5 petang.



