KUCHING: Pengguna perkhidmatan bas di Terminal Bas Kuching Central di sini meningkat setiap kali musim
cuti persekolahan atau perayaan.
Bas bukan sahaja digunakan untuk balik kampung, tetapi juga sebagai perkhidmatan untuk menghantar barang keperluan.
Kos yang murah dan mudah menjadikan ia sebagai pilihan warga Sarawak, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.
Kebiasannya, jumlah penumpang meningkat mendadak pada hujung minggu, dan ramai yang memilih
perjalanan pada waktu malam.
Pekerja kargo Biaramas Express n Bhd Mohd Hamizan Syafiq Hajami berkata, mereka menerima penambahan penghantaran barang ke Miri, Sarikei dan Bintulu pada musim perayaan.
“Pada musim perayaan, pihak kami akan menghantar barang pelanggan sehingga mencecah berat 80 kilogram berbanding hari biasa,” jelasnya.
Sementara itu, pekerja Perkhidmatan Kargo MTC Express Dayang Norzuliati pula menjelaskan, pada musim cuti sekolah dan perayaan, jumlah penumpang akan sentiasa meningkat.
“Biasanya mereka pulang ke Sibu, Miri, Sarikei, Mukah dan Bintulu,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Pekerja Bintang Jaya Express Andrew Alexson pula menjelaskan, jumlah penumpang biasanya meningkat pada waktu malam.
“Jumlah penumpang semakin ramai ketika musim cuti sekolah.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah dari Sibu dan mereka lebih suka menggunakan bas pada waktu malam,” jelasnya