ARTIKEL

Pengguna mahu Program Jualan Rahmah lebih kerap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Program Jualan Rahmah, yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran setempat, nyata membantu meringankan beban rakyat malah pengguna berharap program tersebut dapat diadakan lebih kerap.

Suri rumah Asliza Ayub, 31, berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, program itu membantunya mendapatkan barang kering dan basah untuk keperluan keluarganya lebih-lebih lagi menjelang perayaan Aidiladha yang akan disambut umat Islam Khamis depan.

“Kita sekarang ini berada dalam suasana ekonomi yang mencabar, jadi (program Jualan Rahmah) ini sangat membantu. Tambahan pula orang ramai baru sahaja dapat gaji bulan ini, barang yang dibeli pun untuk tambah (stok) dua ke tiga bulan,” katanya yang ditemui di Pasar Raya Billion Mart di sini semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing melancarkan program Jualan Rahmah di pasar raya itu.

Penjawat awam Khairul Nizam Omar, 42, berkata program tersebut amat membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan bagi kelangsungan hidup dan berharap ia dapat diteruskan.

“Barang-barang yang dibeli hari ini boleh disimpan kira-kira setengah bulan dan pada pendapat saya seeloknya program macam ini diteruskan untuk memudahkan kami yang berpendapatan rendah ini,” katanya.

Turut senada, tukang cuci Khairol Bariah Mohd Latiff, 55, berharap program Jualan Rahmah dapat berkekalan berikutan harga barangan yang ditawarkan lebih berbaloi berbanding harga biasa di pasaran.

Sementara itu, Tan berkata terdapat dua lagi lokasi berlangsungnya Jualan Rahmah di kawasan Parlimen Gopeng iaitu pasar raya Econsave di Bandar Seri Botani dan pasar raya Mydin di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

“Jualan ini berlangsung selama dua hari (24 dan 25 Jun) melibatkan 28 jenis item terpilih dengan empat kategori berbeza iaitu makanan sejuk beku, makanan dalam tin, barang runcit dan lampin pakai buang. Jenama dan produk terpilih diberikan diskaun sebanyak 10 hingga 30 peratus,” katanya menambah bekalan produk berkenaan mencukupi.

Tinjauan mendapati pasar raya berkenaan menjual barangan pada harga lebih murah antaranya bawang merah besar dua kilogram pada harga RM2.90 berbanding harga biasa RM3.90, buah naga merah RM3.99 sekilogram berbanding RM5.99 dan udang saiz sederhana RM20 sekilogram berbanding RM27.90. — BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU