KUCHING: ADUN Pending Violet Yong perlu memahami perbezaan bas hidrogen dan bas Rapid KL yang digunakan pada Para Sukan Malaysia ke-21 (Para SUKMA 21).
Penggunaan Rapid KL tidak sama seperti bas hidrogen atau bas biasa kerana ia disediakan khas untuk kegunaan pengangkutan awam dan pelancong, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menurutnya lagi, bas hidrogen ini memang diwujudkan untuk tujuan pelancongan atau pengangkutan berbanding Rapid KL yang sememangnya mempunyai kegunaan khas untuk membawa atlet orang kelainan upaya (OKU).
“Melihat kepada penggunaan Rapid KL, bahagian depan dan belakang bas sememangnya luas dan boleh memuatkan ramai orang termasuk yang menggunakan kerusi roda.
“Bas ini juga mempunyai tanjakan (ramp) untuk memudahkan mereka yang menggunakan kerusi roda untuk naik. Justeru, ia sememangnya mesra OKU dan sesuai untuk digunakan bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival ParaSukma Sarawak XXI di Dataran Perayaan di sini, hari ini.
Sementara, Violet dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook menyatakan bahawa bas hidrogen keluaran Sarawak tidak mesra OKU kerana tidak digunakan sebagai pengangkutan atlet pada Para Sukma kelak.
Susulan itu, Fatimah menyelar tindakan tersebut menzahirkan rasa kecewa kerana isu berkenaan tidak seharusnya timbul, sebaliknya fokus untuk memastikan kelancaran acara sukan berkenaan.
“Sepatutnya, hal seperti ini tidak dijadikan isu. Beliau (Violet) sepatutnya memberi sokongan kepada para atlet agar mereka dapat buat yang terbaik pada temasya ini,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 25 buah Bas Rapid KL digunakan sebagai pengangkutan atlet OKU pada Para Sukma kali ini.

