ARTIKEL

Suasana sambutan Jumaat Agung di Gereja St. Peter, hari ini. Foto: Mohd Alif Noni.

Penghayatan Jumaat Agung di Sarawak cerminan keharmonian kaum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sambutan Jumaat Agung atau Good Friday di Sarawak menawarkan keunikan tersendiri yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Negeri Bumi Kenyalang yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan agama menjadikan hari suci Kristian ini sarat dengan warna budaya, nilai kemanusiaan dan semangat kekeluargaan.

Malah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara konsisten setiap tahun menzahirkan ucapan Selamat Hari Jumaat Agung dan Selamat Hari Paskah kepada seluruh rakyat yang meraikannya.

Menerusi perutusan tersebut, beliau mendoakan agar rakyat negeri ini serta insan tersayang sentiasa dilimpahi kasih sayang dan rahmat.

“Semoga anda dan orang-orang tersayang sentiasa dilimpahi kasih sayang dan keberkatan,” katanya menerusi hantaran rasmi di laman Facebook Sarawakku, hari ini.

Jumaat Agung merupakan hari bagi memperingati kasih, pengampunan serta belas kasihan melalui pengorbanan dan kematian Yesus Kristus sebagaimana yang tercatat dalam kitab Bible, yang diraikan pada setiap Jumaat sebelum sambutan Paskah pada Ahad.

Di Sarawak dan Sabah, Jumaat Agung diisytiharkan sebagai cuti umum bagi membolehkan penganut Kristian melakukan ibadah puasa, berdoa serta bermeditasi dalam menghayati kesengsaraan Yesus Kristus.

Tinjauan di bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri mendapati gereja mula dipenuhi penganut sejak awal pagi bagi mengikuti upacara keagamaan yang dijadualkan berlangsung sehingga petang.

Menariknya, upacara keagamaan tersebut tidak hanya tertumpu di dalam bangunan gereja, sebaliknya penganut turut dilihat berarak di sekitar kawasan rumah ibadat berkenaan.

Perarakan tersebut melibatkan penganut yang membawa salib sambil membaca doa dan menyanyikan lagu pujian, sekali gus memperlihatkan suasana yang cukup khusyuk.

Kehadiran pelbagai lapisan generasi daripada warga emas hingga kanak-kanak turut menyerlahkan elemen kebersamaan dan ikatan kekeluargaan yang erat dalam komuniti tersebut.

Sesi sembahyang bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 3 petang yang merangkumi perkhidmatan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin dengan acara Stesen Salib menjadi pengisian utama.

Upacara Stesen Salib melibatkan 14 perhentian secara keseluruhannya di mana penganut yang dipimpin oleh paderi akan berarak dari satu stesen ke stesen yang lain sambil menyanyikan lagu pujian bagi menelusuri perjalanan Kristus menuju penyaliban.

Di setiap stesen, doa dan meditasi khusus dibacakan sebelum acara Penghormatan kepada Salib dilaksanakan sejurus tamat perarakan berkenaan.

Selain aspek ibadat, Jumaat Agung di Sarawak turut menjadi wadah penghayatan sosial dan aktiviti kebajikan.

Terdapat komuniti gereja yang mengambil inisiatif melakukan lawatan ke rumah warga tua, pusat jagaan anak yatim serta menyalurkan sumbangan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Aktiviti seumpama itu bukan sahaja memperkukuh semangat komuniti Kristian, malah menzahirkan nilai kasih sayang yang melangkaui batasan etnik dan agama.

Secara keseluruhannya, Jumaat Agung di Sarawak bukan sekadar upacara keagamaan, tetapi merupakan manifestasi kekayaan budaya dan sosial yang terus mengeratkan hubungan sesama insan di negeri ini.

BERITA LAIN

Liputan Internet Kota Sentosa capai 98.5 peratus

KUCHING: Liputan Internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk

BERITA TERBARU

Liputan Internet Kota Sentosa capai 98.5 peratus

KUCHING: Liputan Internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk

Polis Sahkan Pegawai Kastam Maut Dipercayai Dibunuh Suami

NILAI: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.