ARTIKEL

Abdul Karim menerima cenderahati pada Majlis Makan Malam Selamat Datang sempena TGM SABERKAS Sarawak Ke-18 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi. Foto: UKAS.

Penglibatan belia Cina dalam SABERKAS semakin meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Peningkatan penglibatan belia Cina dalam Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) mencerminkan semakin relevannya peranan pertubuhan itu sebagai platform penyatuan belia pelbagai kaum di Sarawak.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkembangan tersebut membuktikan SABERKAS semakin diterima oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto: UKAS..

“Jika dahulu, kaum Cina mungkin merasakan SABERKAS kurang relevan untuk mereka.

“Namun kini, pertubuhan ini berjaya menarik penglibatan pelbagai kaum dan penyertaan belia Cina hari ini amat menggembirakan kerana ia dapat mengeratkan hubungan sesama kita,” katanya.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Selamat Datang sempena Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) SABERKAS Sarawak Ke-18 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Menurutnya, SABERKAS memainkan peranan penting sebagai wadah untuk membina kefahaman, toleransi dan sensitiviti terhadap kepelbagaian kaum serta agama dalam kalangan belia di Sarawak.

Katanya, usaha tersebut amat penting kerana golongan belia yang dibentuk menerusi platform berkenaan berpotensi menjadi pemimpin negeri pada masa hadapan.

“Peranan SABERKAS dalam membentuk kepimpinan belia dapat dilihat menerusi penglibatan bekas pemimpin pertubuhan ini dalam kepimpinan negeri.

“Ketika ini, lebih 20 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak mempunyai latar belakang kepimpinan dalam SABERKAS,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata SABERKAS turut merancang untuk membangunkan kompleks ibu pejabat baharu di Petra Jaya bagi memenuhi keperluan terhadap fasiliti rekreasi, sukan dan ruang acara yang semakin meningkat.

Menurutnya, kompleks tersebut bukan sahaja akan berfungsi sebagai ibu pejabat, malah bakal dilengkapi kemudahan sukan serta ruang yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk majlis perkahwinan.

“SABERKAS melihat kepada sesuatu yang lebih besar kerana di Kuching wujud keperluan terhadap tempat rekreasi, khususnya kemudahan sukan dan ruang untuk mengadakan majlis.

“Kita menghadapi kekangan dari segi kemudahan tersebut. Sebab itu, kita berhasrat mempunyai kompleks ibu pejabat baharu yang dilengkapi fasiliti sukan serta ruang yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya,” jelasnya.

Menjelaskan lanjut, Abdul Karim berkata, kedudukan kewangan SABERKAS yang kukuh memberi ruang kepada pertubuhan itu untuk merealisasikan perancangan berkenaan sekiranya mendapat kelulusan Kerajaan Sarawak.

Katanya, satu kawasan di Petra Jaya telah dikenal pasti dan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berhubung proses kelulusan serta pemilikan tanah.

“Kompleks ini kita sasarkan menjadi sebuah bangunan ikonik, apatah lagi SABERKAS kini sudah berusia 53 tahun.

“Namun, cadangan ini masih di peringkat awal. Butiran lanjut termasuk reka bentuk dan kos pembinaan hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan Kerajaan Sarawak,” tegasnya.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan