BINTULU: Usaha meningkatkan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi pendekatan intervensi yang mengambil kira keperluan, keupayaan dan kaedah pembelajaran yang berbeza bagi setiap murid.
Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Nurul Azreen Abdullah berkata, setiap murid mempunyai potensi untuk belajar, namun mungkin memerlukan pendekatan, tempoh dan kaedah yang berbeza untuk menguasai kemahiran asas berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan intervensi yang bersesuaian menerusi Program Pemulihan Khas perlu terus diperkasa pada peringkat sekolah dan daerah bagi memastikan murid yang memerlukan sokongan dapat menguasai kemahiran 3M.

“Setiap murid boleh belajar, tetapi mungkin mereka memerlukan pendekatan, masa dan kaedah yang berbeza untuk mencapai kejayaan.
“Justeru, usaha pemulihan khas perlu diberikan perhatian secara berterusan supaya setiap murid mendapat peluang dan sokongan sewajarnya untuk menguasai kemahiran asas 3M,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival 3M FUN-Tastik! Showcase membabitkan 30 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh (PPDTS) di Boulevard Shopping Mall, di sini, pada Jumaat.

Nurul Azreen berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar menjadi medan untuk mempamerkan hasil kerja murid dan guru, malah menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti, inovasi serta amalan terbaik dalam pelaksanaan intervensi 3M.
Katanya, pendekatan berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri usaha dan komitmen warga pendidikan dalam membantu murid menguasai kemahiran asas berkenaan.
“Saya difahamkan karnival ini dilaksanakan dengan beberapa objektif utama, antaranya memperkasa pelaksanaan Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah dan daerah.

“Ia juga bertujuan menggalakkan guru pemulihan khas melaksanakan program intervensi serta menghasilkan inovasi bahan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan kemahiran asas 3M,” ujarnya.
Beliau berkata, karnival itu turut menyediakan ruang kepada guru pemulihan khas untuk berkongsi amalan terbaik, idea, kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan intervensi pembelajaran.
Menurutnya, perkongsian berkenaan penting bagi membolehkan guru membina jaringan profesional serta memanfaatkan pengalaman dan amalan terbaik rakan sejawat dalam usaha meningkatkan keberkesanan Program Pemulihan Khas.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh, Sektor Pembelajaran, Fiezlina Talip berkata, guru yang menyertai karnival berkenaan diharapkan dapat membawa pulang pengetahuan, idea dan inovasi yang diperoleh untuk disesuaikan dengan keperluan murid di sekolah masing-masing.
Katanya, perkongsian yang diketengahkan menerusi karnival itu perlu diteruskan melalui kerjasama dan kolaborasi antara guru bagi menghasilkan intervensi yang lebih berkesan.
“Saya berharap segala idea, inovasi serta amalan baik yang diketengahkan dalam karnival ini dapat dibawa pulang, disesuaikan dan dilaksanakan di sekolah.
“Jangan biarkan perkongsian ini berakhir di sini sahaja. Jadikan karnival ini sebagai titik permulaan kepada kolaborasi dan intervensi yang lebih berkesan,” katanya.
Karnival 3M FUN-Tastik! Showcase dianjurkan oleh Unit Pemulihan Khas, Sektor Pembelajaran PPD Tatau Sebauh dengan penglibatan 30 sekolah bagi mengetengahkan hasil kerja, kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan program intervensi 3M kepada masyarakat umum.
Program itu turut mendapat kerjasama dan sokongan Yayasan Sarawak.




