ARTIKEL

Datu Hamden Mohammad (tiga dari kiri) bertukar dokumen MoU dengan Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Mohamed Nor Kassim (tiga dari kanan), sambil disaksikan yang lain. | Foto: Ramidi Subari

Penguat Kuasa Jabatan Hutan Sarawak Kini Ikuti Latihan di ELMU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan menghantar pegawai penguat kuasanya mengikuti latihan khusus di Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua pihak hari ini.

Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, kerjasama itu membuka ruang kepada JHS untuk memperkukuh kecekapan anggotanya melalui latihan lebih berstruktur dan sejajar dengan keperluan penguatkuasaan hutan masa kini.

“MoU ini membolehkan kita menghantar pegawai untuk mengikuti program latihan di ELMU serta membangunkan modul bersama yang dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kesiapsiagaan penguat kuasa hutan bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Seminar Kesedaran Terhadap Perlindungan dan Penguatkuasaan Sumber Hutan Malaysia serta pemeteraian MoU antara JHS dan ELMU, di sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Hamden mewakili JHS, manakala ELMU diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Mohamed Nor Kassim.

Hamden berkata, kerjasama dengan ELMU akan menjadi permulaan kepada pembangunan pelan latihan lebih komprehensif, yang mampu meningkatkan kapasiti penguat kuasa dan memperkukuh perlindungan khazanah hutan di Sarawak serta negara ini.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak memikul tanggungjawab besar dalam pemuliharaan hutan memandangkan negeri ini masih mengekalkan 62 peratus kawasan hutannya, iaitu mewakili 44 peratus daripada keseluruhan tanah berhutan di Malaysia.

“Dengan keluasan hutan yang besar, adalah penting untuk memastikan ia dipelihara bukan sahaja untuk kegunaan masa kini, tetapi untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Semasa menyampaikan ucapan, Hamden berkata landskap penguatkuasaan hari ini tidak lagi sama seperti dua dekad lalu dan memerlukan pendekatan yang lebih moden, berteknologi serta berasaskan risikan.

“Penguatkuasaan tidak boleh lagi kekal konvensional.

“Pegawai perlu beralih daripada bergantung sepenuhnya kepada rondaan fizikal kepada kaedah yang menggunakan teknologi, analitik data dan risikan,” jelasnya.

Beliau berkata, antara keperluan utama yang perlu dikuasai penguat kuasa termasuk penggunaan dron dan imej satelit, aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS), pemetaan digital, analisis data, sistem pengesanan masa nyata serta teknologi kamera pintar dan forensik hutan.

“Teknologi bukan untuk menggantikan manusia, sebaliknya meningkatkan keupayaan penguat kuasa untuk bertindak dengan lebih pantas, tepat dan selamat,” katanya.

BERITA LAIN

900 pokok bakau ditanam di pesisir Sejingkat

KUCHING: Sebanyak 900 pokok bakau ditanam di sepanjang pesisir Sejingkat sempena Hari Antarabangsa Pemuliharaan Ekosistem Bakau sebagai usaha memulihkan ekosistem pantai serta meningkatkan perlindungan kawasan

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road