KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records atas pencapaian “Most Native IUCN Red List Tree Species Planted in a Forest Reserve in a Year.”
Menurut kenyataan media JHS, rekod kebangsaan itu dicapai menerusi aktiviti pemulihan hutan yang dilaksanakan sepanjang tahun 2025 di Hutan Simpan Sabal.
Sebanyak 31,260 anak pokok spesies asli daripada 82 spesies tempatan yang disenaraikan dalam Senarai Merah IUCN berjaya ditanam.
“Daripada 82 spesies tersebut, 35 spesies diklasifikasikan sebagai rentan dan terancam dalam senarai merah IUCN.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kukuh JHS dalam memulihkan populasi spesies pokok asli yang berdepan risiko kepupusan, di samping meningkatkan integriti ekologi landskap hutan yang telah terdegradasi,” katanya.
Pencapaian itu menyerlahkan kepentingan pemulihan ekosistem hutan melalui penanaman pelbagai spesies asli yang mempunyai nilai ekologi dan pemuliharaan yang tinggi.
Selain itu, inisiatif terbabit bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan litupan hutan, malah memperkukuh daya tahan ekosistem, meningkatkan biodiversiti serta memelihara khazanah botani Sarawak untuk generasi akan datang.
Majlis penyerahan simbolik sijil Malaysia Book of Records telah diadakan sempena Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-21 pada 13 Julai 2026 dan disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang jabatan dalam pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan hutan.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai peneraju negara dalam pemulihan ekologi serta mencerminkan komitmen berterusan JHS dalam memulihara spesies pokok asli, di samping menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti global di bawah kerangka Senarai Merah IUCN,” katanya lagi.



