ARTIKEL

Tindakan penguatkuasaan dan operasi terhadap kemasukan sisa elektronik (e-waste) secara haram di negara ini akan dipertingkatkan di semua pelabuhan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto BERNAMA

Penguatkuasaan e-waste haram dipertingkat di semua pelabuhan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Tindakan penguatkuasaan dan operasi terhadap kemasukan sisa elektronik (e-waste) secara haram ke negara ini akan dipertingkatkan di semua pelabuhan, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ketetapan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, baru-baru ini yang mahu operasi membanteras kegiatan berkenaan dilaksanakan sepanjang masa.

“Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diminta supaya operasi dilaksanakan sepanjang masa dan sekarang masanya untuk bertindak, bukan lagi masa untuk merancang.

“Inilah masanya untuk turun dan bertindak seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri kepada AKPS,” katanya pada sidang media selepas sesi Menteri Dalam Negeri bersama warga AKPS di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Awang Alik Jeman, dan Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Saifuddin Nasution berkata aspek operasi dan penguatkuasaan akan melibatkan beberapa elemen agensi penguat kuasa lain.

Terdahulu, Mohd Shuhaily berkata Perdana Menteri mengarahkan AKPS bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia memperhebat operasi terhadap kegiatan pengimportan e-waste secara haram di negara ini.

Sebelum ini, AKPS menyita lima kontena sarat dengan sisa elektronik yang dilarang dibawa masuk ke negara ini, termasuk kabel wayar dihancurkan serta sampah industri dan komersial, seberat lebih 125 tan menerusi siri pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Selangor.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata sebagai agensi baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri, AKPS bermula dengan cemerlang apabila merekodkan nilai rampasan keseluruhan hampir RM82.1 juta hasil pengoperasian di pintu masuk negara pada tahun lepas.

“Saya dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman, akan menambah baik akta AKPS. Jika memerlukan beberapa pindaan, akan kami segerakan. Memang ada pindaan yang telah dikenal pasti.

“Kedua, pentingnya kita melengkapkan AKPS ini dengan teknologi kawalan pintu masuk,” katanya.
Beliau berkata AKPS turut diminta meneliti amalan terbaik beberapa agensi sempadan di luar negara, termasuk di Australia, untuk diaplikasikan dalam agensi berkenaan.

Dalam pada itu, katanya unit risikan dan pengintipan AKPS perlu terus diperkasakan bagi menyokong pelaksanaan operasi.

“Saya memberi kebebasan penuh kepada Ketua Pengarah AKPS untuk membuat pengambilan bersesuaian dengan fungsi AKPS dan kami akan terus mendukung strategi yang dirangka. Perancangan perlu jelas kerana ketepatan maklumat amat penting bagi menjayakan sesuatu operasi,” katanya.

AKPS ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 2024 dengan 104 perjawatan asas di peringkat ibu pejabat yang diketuai oleh seorang Ketua Pengarah. Pada 3 Januari 2024, Jemaah Menteri meluluskan penetapan dasar AKPS, menandakan langkah penting dalam pengukuhan fungsi dan peranannya.— BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU