KUCHING: Isu lantikan doktor kontrak yang berlarutan sejak bertahun-tahun dilihat bakal menemui titik perubahan apabila kerajaan mengumumkan lebih 4,000 jawatan baharu dalam sektor kesihatan awam.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut dapat menampung kekurangan doktor di fasiliti kesihatan.
“Ini merupakan langkah positif dan amat diperlukan dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam serta menangani isu berlarutan berkaitan doktor kontrak.
“Kami berharap jawatan-jawatan ini ialah jawatan tetap bagi doktor kontrak dan sekiranya benar, pelantikan ke jawatan tetap tersebut dibuat berdasarkan senioriti atau tempoh perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (23 Julai).
Ujarnya, selain mengisi semua kekosongan jawatan tetap sedia ada, beliau turut berhasrat lebih banyak jawatan tetap akan diwujudkan dalam masa terdekat.
“Kita mahu semua doktor kontrak yang masih berada dalam sistem dapat diserap ke jawatan tetap.
“Langkah penting ini akan membantu mengembalikan keyakinan serta mendorong lebih ramai doktor untuk kekal dan menyertai sektor awam,” jelasnya.
Tambahnya, setelah bilangan jawatan tetap mencukupi diwujudkan, kerajaan perlu bergerak ke hadapan dengan memansuhkan skim lantikan doktor secara kontrak.
“Kami menginginkan dasar pelantikan ke jawatan tetap bagi semua doktor baharu yang memasuki sistem penjagaan kesihatan awam dikembalikan seperti diamalkan sebelum ini.
“Tindakan ini sekali gus menyelaraskan dasar sama seperti sektor perkhidmatan awam yang lain,” katanya.
Menjelas lanjut, usaha ini juga akan memberikan jaminan pekerjaan dan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada doktor sektor awam seterusnya memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara.




