Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas 2019 yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 18 Julai ini akan menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama golongan muda. Ini kerana, usul berkaitan dengan penurunan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di parlimen.
Usul penurunan had umur layak mendaftar sebagai pengundi daripada 21 kepada 18 tahun sudah pasti akan membuka dimensi politik dalam Malaysia baharu pimpinan PH. Memetik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dalam sebuah portal berita menegaskan bahawa Usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini. Beliau berkata pembentangan usul itu membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Kelayakan Mengundi
Dalam perlembagaan persekutuan di bawah Bahagian VIII berkenaan Pilihan Raya, Perkara 119 Kelayakan Pemilih, mengatakan setiap warganegara mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan adalah layak untuk mendaftar sebagai pengundi. Perkara ini yang akan dipinda pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini. Dalam perlembagaan terkini, ini jelas menunjukkan di Malaysia, semua warganegara yang berumur 21 tahun ke atas wajib untuk mendaftar sebagai pengundi.
Sekiranya usul penurunan had umur mendaftar sebagai pengundi diluluskani, sudah pasti akan membawa perubahan pola pengundian dalam pilihan raya. Persoalannya, adakah anak muda yang berumur 18 tahun ini akan mendaftar sebagai pengundi? Atau dengan penurunan had umur ini akan menyebabkan pertambahan rakyat Malaysia yang layak mendaftar mengundi akan terus bertambah. Ini kerana menurut Pengerusi SPR, sehingga suku pertama tahun ini, seramai 3.8 juta belia yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara. Perkara ini perlu diteliti oleh parti- parti politik serta badan SPR agar penurunan had umur layak mendaftar sebagai pengundi ini tidak menyebabkan masalah rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi makin meruncing.
Realitinya, sekiranya usul ini diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat sesi ini, usaha yang harus terus dilakukan ialah memastikan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun mendaftar untuk mengundi.
Apakah mekanisma digunakan? Bak kata pepatah, ‘Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.
Kepentingan Pengundi Berdaftar
Antara pendekatan yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah memastikan supaya semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi. Ini bermaksud, semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun wajib didaftarkan oleh SPR sebagai pengundi. Kenapa penting sangat mendaftar serta mengundi apabila tiba pilihan raya? Inilah perkara yang perlu diketengahkan oleh mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu berkaitan dengan kepentingan mendaftar sebagai pengundi dan mengundi apabila tiba pilihan raya.
Justeru, memetik Abraham Lincoln, Presiden ke-16 Amerika Syarikat mengatakan bahawa “The ballot is stronger than the bullet”. Jelas di sini apa yang diperkatakan oleh Abraham ini menggambarkan betapa pentingnya mendaftar sebagai pengundi agar layak untuk mengundi apabila tiba pilihan raya. Golongan muda perlu menjadi tunjang kepada kesuburan demokrasi di Malaysia. Ini kerana golongan muda merupakan pewaris sistem pemerintahan yang diamalkan oleh negara. Oleh itu, anak muda perlu mengambil langkah yang telah dibuka oleh Kerajaan PH dengan mendaftar sebagai penngundi.
Inisiatif SPR yang mengadakan Program Pendidikan Pengundi SPR, yang telah disertai 31,355 pelajar berumur 18 hingga 26 tahun telah diadakan melalui Akademi Pilihan Raya (APR) yang antara lain bertu- juan menjawab pelbagai isu berkaitan pilihan raya harus diteruskan oleh SPR demi memastikan anak muda tahu pentingnya mendaftar sebagai pengundi dan mengundi semasa pilihan raya.
Program mendidik serta menjelaskan tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi juga harus menjadi keutamaan parti-parti politik dan NGO agar ia dapat menyuburkan lagi proses demokrasi di negara kita. Tanggungjawab ini pemangkin kepada generasi pelapis dalam sistem pemerintahan negara.
Negara Demokrasi
Dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia, dengan sistem majoriti mudah dalam menentukan kemenangan sesebuah parti politik yang bertanding, maka amat signifikan untuk seseorang individu yang bertanggungjawab mendaftar sebagai pengundi dan mengundi setelah mencapai had umur yang dibenarkan untuk berbuat demikian. Maka inisiatif untuk mendaftar pengundi yang telah mencapai umur layak mendaftar mengundi secara automatik merupakan satu pendekatan yang tuntas untuk memastikan partisipasi rakyat Malaysia dalam proses demokrasi.
Tuntasnya dengan sebagai pengundi, individu itu sah untuk bercakap mengenai politik. Menariknya, seperti di Australia, individu yang sudah layak mengundi tetapi tidak menunaikan tanggungjawab tersebut semasa pilihan raya akan di denda seperti yang termaktub dalam akta pilihan raya negara tersebut.
Nawaitu, sebagai rakyat yang mendukung demokrasi serta bertanggungjawab, golongan muda harus mendaftar sebagai pengundi demi menyuburkan lagi demokrasi di negara kita.
Parti politik harus memainkan peranan bagi memberi pendedahan serta pendidikan berkenaan pentingnya mendaftar sebagai pengundi. Semoga dengan pindaan had umur layak mendaftar sebagai pengundi daripada 21 kepada 18 tahun ini dapat menarik anak-anak muda di negara kita untuk mendaftar sebagai pengundi. Ini kerana satu undi itu amat berharga apabila musim pilihan raya dan secara tidak langsung mendaftar sebagai pengundi merupakan salah satu tanggungjawab kepada negara.
• Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di Unimas.