ARTIKEL

Abdul Karim ketika berucap pada majlis itu.

Pengundi muda perlu nilai rekod, bukan populariti pemimpin – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ASAJAYA: Generasi muda yang bakal menentukan kerajaan Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang perlu melihat lebih jauh daripada populariti seseorang pemimpin, sebaliknya menilai rekod pencapaian, keupayaan mentadbir dan kesungguhan memperjuangkan masa depan negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, golongan muda khususnya pengundi baharu perlu memahami perubahan yang dilalui Sarawak sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

BANTU… Abdul Karim ditemani tetamu kehormat lain menyampaikan bakul makanan kepada penerima di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penyampaian Bakul Makanan Daerah Asajaya di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Pada masa sama Abdul Karim menegaskan, pengalaman beliau berkhidmat di bawah beberapa kepimpinan negeri termasuk Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolehkannya melihat sendiri kesinambungan pembangunan serta perjuangan mengembalikan hak Sarawak.

BANTU… Abdul Karim ditemani tetamu kehormat lain menyampaikan bakul makanan kepada penerima di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, hari ini.

Tegasnya, setiap pemimpin mempunyai pendekatan tersendiri, namun usaha membangunkan kawasan luar bandar dan memperjuangkan hak negeri perlu diteruskan bagi memastikan Sarawak terus berkembang.

Jelas beliau, antara perubahan ketara dapat dilihat menerusi peningkatan hasil negeri daripada RM6.864 bilion pada 2017 kepada unjuran RM15.091 bilion pada 2027, sekali gus memperkukuh kemampuan kerajaan membiayai pembangunan dan kebajikan rakyat.

BANTU… Abdul Karim ditemani tetamu kehormat lain menyampaikan bakul makanan kepada penerima di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, hari ini.

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, beliau turut menyentuh pelaksanaan Jalan Pesisir yang dibiayai kerajaan negeri sebagai usaha meningkatkan kesalinghubungan kawasan pesisir, selain projek Lebuh Raya Pan Borneo yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Abdul Karim turut mengetengahkan inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri bermula 2026 sebagai pelaburan penting dalam pembangunan modal insan.

Selain itu, beliau menyifatkan penubuhan Dana Kekayaan Masa Depan Sarawak dengan peruntukan awal RM8 bilion sebagai langkah strategik memastikan kekayaan negeri dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Sehubungan itu, Abdul Karim mengingatkan rakyat supaya menggunakan pertimbangan rasional ketika memilih wakil rakyat dan kerajaan negeri, selain tidak membiarkan sentimen perkauman menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU