ARTIKEL

Abdul Karim ketika ditemui pemberita.

Abdul Karim mahu akhiri karier politik di Asajaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ASAJAYA: Selepas 25 tahun berkhidmat selama lima penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak keberatan memberi laluan kepada calon lebih muda, namun jauh di sudut hatinya, beliau mahu mengakhiri perjalanan politik di kawasan yang menjadi titik permulaan kerjayanya itu.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau bersedia menerima apa-apa juga keputusan pucuk pimpinan parti, sama ada mengekalkannya di Asajaya, menggantikannya dengan calon baharu atau menempatkannya di kawasan lain.

Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Asajaya itu mengakui lebih selesa sekiranya dapat terus bersama-sama rakyat di kawasan berkenaan sehingga penghujung karier politiknya.

Abdul Karim merakam kenangan bersama-sama penerima sumbangan Program Penyampaian Bakul Makanan Daerah Asajaya di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, hari ini.

“Sekiranya ada calon baharu atau lebih muda untuk menggantikan saya, saya rela.

Tetapi sekiranya parti merasakan perlu mengekalkan saya, saya juga sanggup untuk terus berkhidmat di DUN Asajaya.

“Di sinilah permulaan saya berpolitik dan kalau saya hendak menghabiskan karier politik, biarlah di tempat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Penyampaian Bakul Makanan Daerah Asajaya di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Mengulas serangan bertubi-tubi terhadap beberapa calon dan wakil rakyat PBB di media sosial menjelang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, Abdul Karim berpendapat tindakan sedemikian mungkin mempunyai kaitan dengan persaingan politik yang semakin hampir.

Katanya, sekiranya terdapat ketidakpuasan hati dengan prestasi seseorang wakil rakyat, perkara itu sepatutnya dibangkitkan lebih awal supaya pucuk pimpinan parti mempunyai ruang untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau orang dalam kawasan tidak berpuas hati dengan tanggungjawab seorang wakil rakyat, perkara itu sepatutnya dibawa tiga atau empat tahun dahulu, bukannya seminggu dua sebelum penamaan calon,” ujarnya.

Tambahnya, PBB mempunyai kaedah penilaian dan tinjauan sendiri prestasi setiap penyandang, termasuk keupayaan menguruskan peruntukan serta keyakinan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Justeru, dakwaan dan kritikan di media sosial tidak akan diterima bulat-bulat kerana kesahihan sumber serta motif di sebalik penyebarannya sukar dipastikan, lebih-lebih lagi apabila ia muncul pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU