ASAJAYA: Keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 ini disifatkan sebagai langkah tepat dalam memelihara semangat setia kawan serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu wajar dihargai kerana kehadiran PAS untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu berpotensi mencetuskan persaingan yang tidak perlu dalam kalangan umat Islam.
Tambahnya, pihaknya berbesar hati dengan pendirian PAS yang sebelum ini dilaporkan berhasrat meletakkan calon di tiga kawasan, termasuk Semenyih dan Sebuyau, sebelum mengambil keputusan sebaliknya.
“Alhamdulillah, ini adalah satu semangat setia kawan.
Kita tahu apabila mereka hendak datang bertanding pun, mereka bukannya bertanding di kawasan bandar atau kawasan majoriti Cina, sebaliknya di kawasan majoriti orang Melayu.
“Kenapa hendak dipecahkan ummah? Kalau betul-betul sebuah parti itu berusaha untuk menyatukan umat Islam, maka tindakan seperti ini amat kita hargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Penyampaian Bakul Makanan Daerah Asajaya di Dewan Masyarakat, Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, keputusan PAS itu juga memperlihatkan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara parti politik, khususnya apabila kerjasama diperlukan dalam pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Jelasnya, hubungan politik tidak seharusnya bersifat sementara dengan parti-parti yang dianggap rakan pada satu ketika, kemudian menjadi lawan apabila tiba musim pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan bahawa persaingan politik, khususnya ketika kempen pilihan raya, berisiko mencetuskan budaya saling mengutuk dan menyebarkan fitnah sehingga menjejaskan hubungan masyarakat setempat.
Katanya lagi, kesan perbalahan politik tidak semestinya berakhir selepas hari pengundian kerana penduduk yang tinggal dalam komuniti sama terpaksa berhadapan dengan hubungan yang renggang.
Justeru, beliau berharap kematangan berpolitik terus menjadi keutamaan semua pihak bagi memastikan persaingan pilihan raya tidak mengorbankan perpaduan serta keharmonian masyarakat Sarawak.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan mengesahkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRU Sarawak ini selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pelbagai pertimbangan lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini, melibatkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


