MATU: Usaha menyantuni golongan kurang bernasib baik, khususnya pesakit terlantar dan individu yang berdepan masalah kesihatan, terus menjadi tumpuan menerusi pelaksanaan Program Sentuhan Kasih di Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan, baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng itu dilaksanakan selama tiga hari menerusi pendekatan lawatan dari rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan serta mendekati masyarakat yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Menerusi pelaksanaan hari pertama di enam kampung sekitar Igan, seramai 18 penerima menerima sumbangan berupa kerusi roda dan bakul makanan bagi membantu meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka.

Enam penerima menerima kerusi roda berserta bakul makanan, manakala 12 penerima lagi menerima sumbangan bakul makanan.
Lawatan pada hari pertama melibatkan Kampung Shariff Sekerang, Kampung Sekerang, Kampung Tengah, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail dan Kampung Baru Dagang.
Seterusnya, program diteruskan di Daerah Matu dengan menyantuni 12 penerima di Kampung Loba Balu, Kampung Bertong, Kampung Pasar Lama dan Kampung Pasar Baru menerusi penyampaian sumbangan bakul makanan.
Sementara itu, seramai 21 penerima turut menerima sumbangan bakul makanan, manakala tiga penerima yang berdepan masalah kesihatan menerima kerusi roda berserta bakul makanan.
Selain menyampaikan bantuan keperluan harian, program berkenaan turut memberi peluang kepada pihak Pusat Khidmat DUN Jemoreng mendekati penerima secara langsung, sekali gus memahami keadaan dan keperluan mereka dengan lebih dekat.
Pendekatan kunjungan dari rumah ke rumah itu turut membuka ruang untuk beramah mesra dan bertanya khabar, selain mengeratkan hubungan pemimpin dengan penduduk setempat.
Keprihatinan yang ditunjukkan menerusi kunjungan berkenaan turut mendapat reaksi positif apabila penerima menzahirkan rasa terharu atas sumbangan serta perhatian yang diberikan.



