JOHOR BAHRU: Seramai 19,471 pengundi awal atau 94.49 peratus menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.
Jumlah itu melibatkan 7,960 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan, serta 11,511 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.
Proses pengundian berlangsung di 62 pusat mengundi bermula 8 pagi. Sebanyak 29 pusat ditutup pada 12 tengah hari, lima pada 2 petang dan baki 28 pusat pada 5 petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas, agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan media yang membantu melancarkan proses pengundian seperti dilapor Bernama.
Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dikira pada hari pengundian Sabtu ini. PRN Johor melibatkan 172 calon yang bertanding bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).





