KUCHING: Seorang pengurus perhubungan awam sebuah bank antarabangsa dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM40 juta kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan pelaburan terhadap lapan warga emas melibatkan wang bernilai lebih RM1.58 juta.
Tertuduh, 39, turut dikenakan hukuman 16 sebatan atas kesalahan melakukan penipuan wang pelaburan.
Dia mengaku bersalah atas 24 pertuduhan yang dibacakan jurubahasa Cina di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Bagi 16 pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu lapan warga emas masing-masing berusia 60-an hingga 70-an dengan mendorong menyerahkan sejumlah wang untuk pelaburan.
Jumlah keseluruhan wang yang ditipu tertuduh daripada mangsa sebanyak RM1,587,971.48.
Dia melakukan kesalahan itu sepanjang tahun 2022 hingga 2024 di sebuah bank antarabangsa di Jalan Rock.
Bagi kesalahan itu, Iris menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi 12 kertas pertuduhan dan tiga pertuduhan lagi dikenakan empat tahun dan tiga sebatan.
Ini menjadikan jumlah hukuman penjara tertuduh sebanyak empat tahun dan 16 sebatan, selepas mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh reman pada 23 Mei 2025.
Sementara itu, bagi lapan pertuduhan lain pula dia didakwa di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Dia didakwa menerima hasil aktiviti haram dengan melibatkan nilai wang yang sama.
Iris menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan RM5 juta denda atau penjara empat bulan masing-masing bagi setiap pertuduhan di bawah AMLA 2001.
Ini menjadikan hukuman tertuduh denda sebanyak RM40 juta dan penjara tiga tahun, selepas dia diperintahkan menjalani hukuman secara serentak bermula hari ini.
Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda, hendaklah dipenjara selama 32 bulan.
Menurut fakta kes, tertuduh merupakan pengurus hubungan di bank berkenaan bertanggungjawab membantu pelanggan dalam urusan pelaburan termasuk pelaburan bon, amanah saham, akaun simpanan tetap dan urusan kiriman wang tempatan dan asing.
Tertuduh telah menawarkan kepada pelanggan-pelanggan suatu pelaburan baharu yang kononnya menjanjikan pulangan lebih tinggi.
Dengan representasi tersebut, tertuduh memperoleh tandatangan pelanggan pada borang permohonan kiriman wang dan dalam keadaan tertentu, pengesahan cap jari biometrik mangsa.
Namun, wang berkenaan sebenarnya tidak digunakan untuk membeli pelaburan baharu seperti yang direpresentasikan.
Sebaliknya, tertuduh melengkapkan borang kiriman wang dan menyediakan dokumen sokongan untuk memindahkan wang daripada akaun pelanggan kepada akaun pihak ketiga melalui DuitNow, Interbank GIRO (IBG) atau Cashier’s Order, tanpa pengetahuan atau persetujuan sebenar pelanggan.
Tertuduh kemudiannya mengarahkan pihak ketiga menyerahkan wang tersebut kepadanya untuk kegunaan peribadi.
Difahamkan, dia menggunakan wang terbabit untuk membayar hutang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Maryam Jamielah Abdul Manaff, DPP Chuah Kai Sheng.
Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Superintenden (SUPT) Seah Chong Seng, Pegawai Penyiasat ASP Tina Manchu dan Pegawai Penyiasat Inspektor Jeniffer Kon Tze Ee.




