ARTIKEL

Pengurusan kubur sistematik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANAH Perkuburan Islam Bako (TPIB) memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pemeliharaan kawasan perkuburan Islam, memastikan tempat tersebut diurus dengan penuh sensitiviti dan berhati-hati.

Dengan visi untuk mewujudkan tanah perkuburan berkonsepkan “Kubur Dalam Taman”, TPIB berusaha menjadikan kawasan ini bukan sekadar tempat persemadian, tetapi juga sebagai refl eksi keindahan Islam yang teratur dan sistematik.

Misi utama TPIB di kawasan Dewan Undangan Negeri Demak Laut dan Parlimen Santubong) ialah menyediakan kemudahan lengkap dengan pengurusan yang mantap serta persekitaran menceriakan.

Pengerusi PTPIB Awg Majri Awg Rosli berkata, tanah perkuburan ini didaftarkan atas nama Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan keluasan sekitar 64 ekar dan terletak di Lot 1568, Block 3, Muara Tebas Land District, Jalan Sungai Bako. Menurut beliau, daripada jumlah ini, lapan ekar dibangunkan dalam fasa pertama, bermula November 2020 dengan kos pembinaan RM4.5 juta. Projek ini katanya, berjaya disiapkan pada Disember 2021 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2022. Setakat 31 Disember tahun lepas, sebanyak 160 jenazah dikebumikan di sini.

Manakala, fasa pertama TPIB ujarnya mampu menempatkan 1,971 liang lahad dengan anggaran tempoh penggunaan selama 30 tahun, berdasarkan statistik pengebumian tiga tahun lalu.

“Bagi memastikan pengurusan yang sistematik, tanah perkuburan ini mengamalkan pengasingan tapak kubur mengikut jantina dan umur, iaitu zon lelaki dewasa, zon perempuan dewasa dan zon kanak-kanak. Ini bertujuan untuk memudahkan waris serta pengunjung mengenal pasti lokasi perkuburan dengan lebih teratur,” katanya.

“TPIB dikawal selia oleh Lembaga Amanah Masjid Kampung Bako dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sistem pangkalan data e-pusara, tempat letak kereta, gazebo, surau, bilik mandi jenazah, rumah pekerja, bilik pentadbiran, stor, serta sistem paip air dan lampu limpah bagi memastikan keselesaan kepada waris yang hadir,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Selain itu, beliau memberitahu, satu jawatankuasa khas dibentuk bagi menguruskan tanah perkuburan ini, dibantu beberapa pasukan seperti kumpulan mandi jenazah lelaki, kumpulan mandi jenazah perempuan, kumpulan pengkebumian, kumpulan van jenazah, kumpulan pengimarahan dan rakan TPIB. Di samping itu, jelasnya, tanah perkuburan ini diperuntukkan khusus kepada penduduk Kampung Bako dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Muara Tebas, Kampung Selabat, Kampung Sungai Bako, Kampung Bako Tradisi, Kampung Bako Indah, Kampung Hijrah, Taman Mesra, Taman Li Hua, Pasar Bako, Kampung Goebilt, Kampung Senari, Kampung Jernang, Kampung Beradek, Kampung Sembilang dan Kampung Sejingkat.

Dalam memastikan kelestarian dan pembangunan tanah perkuburan, jelasnya lagi,

TPIB merangka Pelan Strategik Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako (PSPTPIB) yang menekankan beberapa objektif utama.

Antaranya memperkasakan tanah perkuburan sebagai tempat menimba ilmu, memastikan keselamatan, keceriaan dan kebersihan (3K) sebagai tanggungjawab bersama-sama komuniti, serta meningkatkan pembangunan infrastruktur.

“Untuk mencapai objektif ni, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan, termasuklah jerayawara TPIB, azan empat penjuru, gotong-royong komuniti, kursus pengurusan jenazah, program amal bersama-sama Institut Kemahiran MARA Kuching, serta kursus solat jenazah dan talqin untuk golongan remaja.

“Selain itu, programprogram lain seperti Program Sedekah Air Tebu Ramadan, Program Korban Raya Haji, Program Haji Cilik, Perarakan Sepanduk Maulidur Rasul, dan Gotong-Royong Perdana turut dijalankan bagi memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti.

“Kerjasama dengan pelbagai pihak juga diperluas melalui aktiviti seperti Program Penanaman Pokok bersama Sarawak Energy, Kursus Simen Ferro dengan Kolej Komuniti Mas Gading, serta Lawatan Peserta Program Nadwah Kepimpinan Islam SekolahSekolah Peringkat Negeri Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui komitmen tinggi ditunjukkan anggota TPIB dalam memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada masyarakat amat dihargai.

“Segala kekurangan dan kelemahan yang dikenal pasti akan terus ditambah baik bagi memastikan pengurusan tanah perkuburan ini mencapai tahap optimum, cekap, dan memenuhi kehendak pelanggan. “Dengan usaha berterusan, TPIB akan terus menjadi contoh dalam pengurusan tanah perkuburan Islam yang profesional, teratur dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya. 

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU