ARTIKEL

Uggah bersama beberapa petugas dan mangsa terkandas ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Bugey.

Pengurusan PPS sarawak ikut SOP ketat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBURAN: Pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa bencana sentiasa terpelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap aspek penyediaan makanan, kemudahan asas, kesihatan serta kesejahteraan emosi mangsa yang terpaksa berpindah akibat banjir.

“Kita sedar mereka berada dalam keadaan susah.

“Apabila berpindah ke PPS, matlamat kita adalah untuk memastikan kehidupan mereka lebih baik, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi,” katanya ketika melawat PPS Kampung Bugey, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara keutamaan yang diberi perhatian ialah memastikan bekalan makanan mencukupi, tilam dan peralatan asas disediakan, tandas berada dalam keadaan baik serta persekitaran PPS sentiasa bersih dan selamat.

“Kita telah meminta Jabatan Kesihatan Negeri membuat saringan bagi memastikan tiada mangsa dijangkiti selsema.

“Jika dijangkiti selsema, individu terbabit perlu diasingkan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit seperti influenza,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak kesihatan juga diminta melaksanakan kerja pengasapan nyamuk di kawasan PPS supaya mangsa tidak pulang dengan penyakit denggi selepas bencana.

Dalam pada itu, beliau berkata semua PPS di peringkat bahagian dan daerah kini digerakkan sepenuhnya bagi memastikan pengurusan mangsa dilaksanakan secara cekap dan teratur mengikut SOP yang ditetapkan.

Sehingga pagi ini, katanya, sebanyak 39 PPS telah dibuka di seluruh Sarawak melibatkan 2,871 mangsa daripada 870 keluarga di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Bintulu, Mukah dan Miri.

Uggah turut memuji peranan Pasukan Respons Kecemasan Komuniti (CERT) yang terbukti membantu komuniti bertindak pantas ketika bencana berlaku, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Pasukan ini membolehkan komuniti mengambil tindakan awal untuk mengawal serta mengurus keperluan asas sementara menunggu ketibaan agensi rasmi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU