ARTIKEL

BERCAKAP… Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui pemberita. FOTO GHAZALI BUJANG

Pengusaha hotel disaran semak harga bufet Ramadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengusaha hotel disaran menyemak semula penetapan harga bufet Ramadan agar lebih berpatutan dan selaras dengan kemampuan masyarakat setempat, kata Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) itu berkata, harga yang terlalu tinggi boleh menyebabkan pelanggan tidak lagi berkunjung.

“Fenomena ini berlaku apabila peniaga terpengaruh dengan trend harga di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, lalu mengenakan kadar yang lebih tinggi.

“Di Kuching, majoriti pelanggan terdiri daripada penduduk tempatan. Oleh itu, saya berharap pengusaha hotel dapat menetapkan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada masjid, surau dan tanah perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengedarkan pekeliling yang menetapkan hanya premis makanan yang memiliki Sijil Halal Malaysia dibenarkan menggunakan istilah bufet Ramadan sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, peniaga juga tidak dibenarkan meletakkan poster, papan iklan atau seumpamanya berkaitan tawaran bufet tanpa kebenaran pihak JAIS.

“Justeru, peniaga disaran memaklumkan kepada MIS terlebih dahulu sekiranya ingin mengadakan bufet Ramadan.

“Kita akan memastikan mereka memiliki sijil halal sebelum menawarkan perkhidmatan tersebut. Setakat ini, memang ada premis yang telah mendapat kebenaran,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak menghalang orang ramai berniaga di luar bazar Ramadan yang disediakan.

“Namun, peniaga diminta menjaga kebersihan kawasan masing-masing, berniaga di lokasi yang sesuai serta tidak menghalang jalan raya atau menggunakan tapak letak kereta.

“Selain itu, pengendali makanan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan memiliki sijil kesihatan daripada Pejabat Kesihatan,” katanya.

BERITA LAIN

Naik Taraf Sekolah Mubaligh di Sarawak

KUCHING: Peruntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh Sarawak tahun ini bukan sahaja bagi menaik taraf infrastruktur, malah RM10 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan pencapaian akademik

BERITA TERBARU

Naik Taraf Sekolah Mubaligh di Sarawak

KUCHING: Peruntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh Sarawak tahun ini bukan sahaja bagi menaik taraf infrastruktur, malah RM10 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan pencapaian akademik