SIBU: Isu penjualan makanan dan minuman tamat tempoh masih dikesan di beberapa premis dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan makanan di bandar ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, hasil pemeriksaan berterusan mendapati terdapat pengusaha kedai kopi yang masih menyimpan stok bahan yang telah melepasi tarikh luput.
Menurut beliau, ada peniaga memberikan alasan tidak menyedari perkara tersebut kerana bekalan dihantar oleh pihak pembekal.
Namun, katanya, alasan sedemikian tidak boleh diterima.
“Peniaga perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan setiap produk yang diterima diperiksa terlebih dahulu, khususnya dari segi tarikh luput bagi menjamin keselamatan pengguna,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa operasi pemeriksaan mengejut di beberapa kedai kopi di Jalan Wawasan. Tambahnya, walaupun keadaan pembungkusan produk kelihatan baharu, pemeriksaan lanjut mendapati kandungannya sebenarnya telah tamat tempoh.
Dalam pada itu, Yiing menekankan bahawa tahap kebersihan di dapur premis yang diperiksa masih belum memuaskan dan memerlukan penambahbaikan segera.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk lantai dapur yang berminyak dan licin, penggunaan peralatan seperti pinggan mangkuk serta papan pemotong yang rosak dan kotor, selain kegagalan pekerja memakai pakaian perlindungan seperti kasut bertutup, apron dan penutup kepala. Isu lain yang turut diberi perhatian adalah penggunaan perangkap minyak yang tidak menepati spesifikasi.
Menurut Yiing, terdapat premis yang menggunakan sistem tidak lengkap sehingga menyebabkan sisa minyak terus mengalir ke longkang.
“Perangkap minyak sepatutnya mempunyai tiga ruang untuk mengasingkan sisa, air dan minyak.
Jika tidak mencukupi, ia boleh menyebabkan pencemaran dan masalah saliran,” jelasnya lagi.
Pemeriksaan di bahagian belakang premis juga mendapati longkang dipenuhi lapisan minyak tebal walaupun pemilik mendakwa kerja pembersihan telah dilakukan sebelum ini
. Beliau turut tidak menolak kemungkinan masalah saliran tersebut diperburuk oleh aktiviti premis cucian kenderaan berhampiran yang menyalurkan pasir serta lumpur ke dalam longkang.
Dalam operasi berkenaan, enam premis diperiksa dengan lima daripadanya diberikan notis kebersihan, manakala satu lagi dikenakan kompaun atas kesalahan yang dilakukan.

