ARTIKEL

Sebahagian daripada qariah-qariah dan penduduk-penduduk Kpg Sessang yg hadir di Majlis Membaca Yassin dan Tahlil Perdana .

Tragedi asrama SK Abang Moh Sessang: 13 nyawa kekal dalam kenangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Tiga dekad berlalu, namun tarikh 9 Oktober 1996 kekal terpahat dalam lipatan sejarah dan ingatan penduduk Kampung Sessang, dekat sini.

Hari yang pada awalnya berlangsung seperti biasa bertukar menjadi detik penuh pilu apabila suasana malam yang hening tiba-tiba diselubungi tangisan dan air mata menjelang tengah malam pada tarikh berkenaan.

Tragedi kebakaran asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Moh Sessang ketika itu meragut 13 nyawa, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, warga sekolah dan seluruh penduduk kampung.

Pada 9 Oktober lalu, genap 30 tahun tragedi hitam yang pernah menggemparkan negara itu.

Mengimbas kejadian berkenaan, seramai 10 penghuni asrama terkorban pada malam kebakaran, manakala tiga lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Tengah malam yang hening, ketika kebanyakan penduduk sedang lena dibuai mimpi, dipecahkan oleh jeritan meminta pertolongan dan laungan “Asrama hangus!”.

Jeritan itu mengejutkan penduduk kampung yang kemudiannya bergegas ke kawasan sekolah untuk menghulurkan bantuan dan menyelamatkan mangsa yang terlibat.

Penulis sendiri, yang secara kebetulan berada di Kampung Sessang pada malam tragedi itu, turut menyaksikan bagaimana api marak dengan begitu dahsyat sehingga memusnahkan keseluruhan bangunan asrama berkenaan.

Penduduk kampung berusaha sedaya upaya memadamkan kebakaran, dengan menggunakan baldi dan bekas berisi air. Mereka berganding bahu menyimbah air ke arah bangunan yang sedang terbakar.

Namun, usaha tersebut tidak mampu mengekang api yang semakin marak dan merebak dengan pantas, sekali gus menyukarkan usaha menyelamatkan penghuni asrama yang terperangkap.

Tragedi menyayat hati itu meragut nyawa 13 penghuni asrama, iaitu Abdullah Seri, Azlan Yunus, Ahmad Nor Kaderi, Iswandi Deris, Mohd Azlan Julaihi, Nurman Sepiee, Nusri Tenang, Solehudin Ahmadon, Razif Anis, Kamarudin Ahmad, Salman Bogo Ajah, Norbaizura Sedi dan Nurul Haqimi Hashim. Daripada jumlah itu, 12 mangsa ialah murid lelaki Tahun 6, manakala seorang lagi ialah murid perempuan Tahun 4.

Antara mereka, Razif Anis meninggal dunia di Hospital Saratok, manakala Ahmad Nor Kaderi dan Solehudin Ahmadon meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak, Kuching.

Bagi memperingati tragedi yang meragut begitu banyak nyawa itu, Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana diadakan pada 9 Oktober lalu di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sessang.

Majlis berkenaan turut dihadiri salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi itu, ustaz Azhar Bastani, yang kini bertugas di Sekolah Menengah Agama Saratok.

Antara mangsa yg selamat ustaz Azhar Hj Bastani…menceritakan pengalaman beliau semasa Kebakaran berlaku

Beliau turut berkongsi kisah dan pengalaman yang dilaluinya ketika kebakaran berlaku, sekali gus membawa hadirin mengimbas kembali detik cemas itu.

Ketika berkongsi pengalamannya, ustaz Azhar turut menyuarakan hasrat bertemu semula dengan Ustaz Mohd. Asri, yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan antara individu yang bertungkus-lumus menyelamatkan penghuni asrama pada malam tragedi berkenaan.

Pengerusi Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang, Abdul Rahman Bastani berkata, walaupun tiga dekad berlalu, tragedi kebakaran asrama SK Abang Moh Sessang kekal sebagai kenangan pahit yang tidak mungkin dilupakan, khususnya oleh keluarga mangsa, mereka yang terselamat dan penduduk Kampung Sessang.

Pemergian 13 penghuni asrama itu, katanya, bukan sekadar meninggalkan kesedihan yang mendalam, malah menjadi sebahagian daripada sejarah yang terus dikenang oleh generasi demi generasi.

Pusara 12 mangsa di Tanah Perkuburan Islam Sessang manakala seorang keturunan Iban dikebumi di tanah perkuburan Iban
Majlis Tahlil di SK Abg Moh

BERITA LAIN

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi

BERITA TERBARU

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi