KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga dalam talian, agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan berterusan di platform digital, bagi mengelak berlakunya penipuan dan manipulasi harga pelbagai barangan keperluan, termasuk penutup hidung dan mulut serta makanan.
“Peniaga dalam talian juga perlu ada etika dan tidak menganiayai pengguna dengan menaikkan harga, pada masa semua orang sedang mengalami masalah kesempitan wang.
“Sekiranya ada aduan dan didapati berasas, KPDNHEP boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AkHAP) 2011,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Food Bank Siswa, kepada mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malik, di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, dan Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.
Dalam pada itu Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, seramai 622,726 isi rumah dari golongan B40 telah menerima manfaat daripada program Food Bank Malaysia, bermula Disember 2018 sehingga Januari tahun ini.
Manakala bagi program Food Bank Siswa pula, seramai 12,851 pelajar telah menerima manfaat tersebut bermula Februari 2019 hingga 31 Mac lalu.
“KPDNHEP turut meneruskan program Food Bank Malaysia dalam tempoh PKP Fasa Satu dan Dua, dan ia sangat-sangat membantu golongan B40 di bandar, yang tinggal di kawasan perumahan rakyat.
“Alhamdulillah walaupun berdepan pelbagai cabaran susulan penularan wabak COVID-19, masih ramai syarikat dan penderma yang menghulurkan bantuan.” katanya.



