Peniaga tunggu LAMPU HIJAU

KUCHING: Pengumuman bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibuka semula memberikan kelegaan kepada peniaga.

Pengerusi Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB) Razemi Sarbini (gambar) berkata, pihaknya amat berterima kasih seandainya pengumuman pembukaan semula bazar menjadi kenyataan.

“Kami ahli KUBSB bersyukur dan berharap semoga Bazar Aidilfitri Satok dibuka semula pada tahun ini.

“Kami amat berterima kasih seandainya pada masa pandemik Covid-19, bazar Aidilfitri dibuka semula agar dapat memberi ruang kepada ahli berniaga,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sebelum ini, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam laporan media berkata, berdasarkan perbincangan awal bersama pengurusan DBKU, bazar Ramadan akan dibuka di Satok, Semarak dan Sukma Ria.

Menurutnya, bazar Ramadan akan dibuka namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, keputusan lanjut mengenai pembukaan bazar akan diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Abdul Rahman berkata, pembukaan bazar Ramadan persendirian perlu dibuat kepada DBKU lebih awal supaya SOP berkaitan dapat ditetapkan.

Razemi berkata, pihaknya akan menghantar permohonan pembukaan Bazar Aidilfitri Satok dalam masa terdekat kepada pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Menurutnya, pihak pengurusan akan memberi penekanan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat mengenai kebenaran pembukaan bazar Ramadan di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan kerana Kerajaan Persekutuan sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu pada 16 Mac lalu, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meluluskan pembukaan bazar termasuk kebenaran bersolat tarawih di surau serta masjid.

Menurut Sabri, ia dibuat selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun pelaksanaan semua aktiviti berkenaan perlu mematuhi SOP yang ketat. Waktu operasi bazar Ramadan ialah dari 3 petang hingga 8 malam manakala bagi bazar Aidilfitri pula, dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.

SOP itu akan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri masing-masing.

Suara Sarawak