ARTIKEL

Sikie ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. | Ghazali Bujang

Peningkatan gaji tertinggi dalam sejarah KMKK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan kenaikan gaji dan elaun Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebanyak RM400 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan sekali gus menjadikannya peningkatan tertinggi dalam sejarah institusi tersebut.

Menteri di Jabatan Premier, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, ia juga melibatkan 7,710 jawatan KMKK di negeri ini.

Katanya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan kenaikan gaji dan elaun ini.

“Ini merupakan peningkatan tertinggi dalam sejarah institusi KMKK dan mencerminkan komitmen serta penghargaan kerajaan terhadap peranan besar mereka dalam memastikan dasar sampai kepada setiap lapisan rakyat.

“Selaras dengan kenaikan ini, KMKK hendaklah mempertingkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan, meningkatkan akauntabiliti serta menjalankan tugas dengan penuh integriti selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan turut memperkukuhkan tatacara pengurusan KMKK merangkumi penambahbaikan syarat dan proses pelantikan, serta perincian peranan dan tanggungjawab yang lebih jelas.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap pelantikan dibuat secara telus, berintegriti dan berasaskan merit, di samping memastikan KMKK benar-benar memahami mandat yang diberikan kepada mereka.

“Penambahbaikan ini juga penting bagi memastikan struktur kepimpinan di peringkat akar umbi lebih tersusun, responsif dan profesional.

“KMKK bukan sahaja menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan setempat, pemudah cara pelaksanaan dasar negeri serta tonggak kestabilan sosial dalam komuniti masing-masing,” tegasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan juga peka terhadap keperluan untuk mewujudkan jawatan baharu KMKK di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Balingian, Engkilili, Serembu dan Kabong.

“Setakat ini, kerajaan telah menerima kira-kira 1,000 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu KMKK dari semua bahagian di seluruh Sarawak.

“Kesemua permohonan tersebut telah dikaji dan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira beberapa faktor penting antaranya status pemilikan tanah, faktor geografi, pertambahan bilangan rumah serta penduduk, keluasan kawasan bidang kuasa serta pembinaan rumah panjang dan penempatan baharu,” jelasnya.

Beliau memberitahu, permohonan berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Hal Ehwal KMKK dan seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan selanjutnya oleh pihak berkuasa melulus.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU