ARTIKEL

Ahmad Johnie Zawawi

Peningkatan peruntukan RM1.1 bilion buka ruang percepat prasarana asas Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sarawak sebanyak RM1.1 bilion bagi 2027 membuka ruang untuk mempercepat pembangunan prasarana asas, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan kemudahan lebih menyeluruh.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.2 bilion itu, berbanding RM15.1 bilion pada 2026, diharap dapat memperkukuh pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

Beliau berkata, peruntukan RM3.3 bilion bagi prasarana asas desa dalam Belanjawan MADANI 2027 berpotensi meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan penting, termasuk bekalan air, elektrik, lampu jalan kampung dan kemudahan komuniti.

“Keberkesanan pelaksanaan projek berkenaan penting bagi memastikan peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, sekali gus membantu merapatkan jurang kemudahan antara kawasan bandar dengan luar bandar.

“Saya berharap pelaksanaan projek prasarana ini dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar,” katanya ketika mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Selain pembangunan infrastruktur, Ahmad Johnie berkata, belanjawan itu turut memberi perhatian kepada sektor pendidikan menerusi beberapa inisiatif yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga serta memperluas peluang anak-anak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Sarawak dan Sabah dijangka membantu memperluas akses kepada pendidikan tinggi, khususnya bagi pelajar yang memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan pengajian.

Beliau berkata, Bantuan Awal Persekolahan turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, dengan peruntukan RM1 bilion bagi memanfaatkan 5.2 juta murid di seluruh negara.

“Peningkatan bantuan itu dapat membantu ibu bapa mengurus perbelanjaan awal persekolahan, termasuk pembelian pakaian seragam, kasut, alat tulis dan keperluan pembelajaran lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan tiket penerbangan menerusi inisiatif FlySiswa MADANI 2027 dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 bagi membantu mengurangkan beban kos perjalanan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian awam.

Ahmad Johnie berkata, elaun murid berkeperluan pendidikan khas turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, dengan peruntukan RM300 juta bagi memanfaatkan 150,000 murid di seluruh negara.

“Peningkatan elaun itu dapat membantu keluarga menampung keperluan persekolahan dan perbelanjaan harian anak-anak berkeperluan pendidikan khas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan kepada Sarawak dan berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan secara berkesan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU