KUCHING: Langkah kerajaan menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 perlu disokong oleh peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerja.
Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Bahagian Sarawak (MTUC), Zaidi Nasar, berkata langkah ini penting bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mampan dan tidak membebankan majikan atau menjejaskan daya saing negara.
Ujarnya, kenaikan gaji minimum adalah selaras dengan peningkatan kos sara hidup, namun ia juga memerlukan lonjakan dalam tahap produktiviti untuk mengelakkan inflasi yang lebih tinggi serta mengurangkan risiko penutupan, terutama bagi syarikat kecil dan sederhana (PKS).
“Dengan gaji minimum yang lebih tinggi, majikan akan mengharapkan produktiviti yang lebih baik daripada pekerja.
Ini bermakna, syarikat perlu melabur dalam latihan dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui perintah Akta Perintah Gaji Minimum (PGM) yang berkuat kuasa pada 1 Februari, majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih diwajibkan membayar gaji minimum RM1,700 sebulan.
Majikan yang menjalankan aktiviti profesional juga perlu membayar gaji minimum RM1,700 sebulan, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.
Bagi majikan yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja, perintah ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun ini.
Zaidi menekankan bahawa gaji minimum merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun, insentif, atau bayaran tambahan.
Pekerja yang dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan, atau komisen, juga mesti menerima gaji bulanan yang tidak kurang daripada gaji minimum bulanan.
“Malah, majikan tidak boleh membayar gaji pokok yang lebih rendah daripada gaji minimum walaupun dengan persetujuan pekerja.
Pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja jika terdapat pelanggaran,” katanya.
“Saya memohon pekerja-pekerja memaklumkan kepada rakan mereka dan pihak majikan mengenai tarikh penguatkuasaan dan amalkan kerjasama yang baik untuk kebaikan bersama,” tambahnya.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi MTUC Bahagian Sarawak melalui email: agsmtucswk@gmail.com.

