ARTIKEL

Dr Wynson menerima aduan rasmi daripada Ben Lee Automobile Sdn. Bhd. akibat penyalahgunaan identiti syarikat.

Penipuan jual beli kenderaan dalam talian membimbangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aktiviti penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian semakin membimbangkan apabila individu tidak bertanggungjawab didapati menyalahgunakan identiti syarikat yang sah untuk menipu pengguna.

Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, orang ramai perlu lebih berwaspada dalam setiap urusan pembelian kenderaan.

“Pihak kami telah menerima aduan rasmi daripada Ben Lee Automobile Sdn. Bhd. mengenai individu yang menggunakan logo, nama dan gambar kenderaan syarikat untuk menjalankan aktiviti jual beli secara tidak sah di platform dalam talian.

“Syarikat itu turut menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa telah ditipu dengan cara sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, maklumat yang diterima menunjukkan jumlah wang yang dipindahkan mangsa berbeza-beza.

“Antaranya, RM3,900 bagi pengadu pertama dan RM6,300 bagi pengadu lain, serta beberapa transaksi lain dengan nilai berbeza.

“Kesemua bayaran telah dipindahkan ke akaun peribadi individu terbabit, bukannya akaun rasmi syarikat, menyebabkan mangsa mengalami kerugian kewangan yang ketara,” jelasnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, akaun rasmi Ben Lee Automobile Sdn. Bhd. adalah di bawah nama syarikat.

“Oleh itu, akaun peribadi yang digunakan suspek tidak mempunyai kaitan dengan syarikat dan penggunaan logo serta bahan promosi syarikat dilakukan tanpa kebenaran.

“Kegiatan ini bukan sahaja merugikan pengguna, malah menjejaskan reputasi syarikat sebagai penjual kenderaan yang berintegriti,” ujarnya.

Tegas beliau, sindiket penipuan seperti ini biasanya bermula dengan jumlah kecil.

“Individu tidak bertanggungjawab lazimnya memulakan penipuan dengan bayaran kecil seperti deposit.

“Ini adalah cara mereka mendapatkan kepercayaan pengguna sebelum meminta bayaran lebih besar dan akhirnya menyebabkan kerugian serius,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan memastikan setiap pembelian kenderaan dilakukan secara bersemuka atau melalui saluran rasmi syarikat.

“Sebarang pemindahan wang perlu disahkan terlebih dahulu agar akaun penerima adalah sah dan berdaftar atas nama syarikat, bukannya akaun peribadi.

“Penipuan dalam talian merupakan isu kepenggunaan yang membimbangkan, terutama bagi barangan bernilai tinggi seperti kenderaan, hartanah dan peralatan elektronik,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar orang ramai menjadi pengguna yang bijak ketika membuat pembayaran dalam talian.

“Pastikan maklumat adalah tepat dan buat semakan latar belakang penjual bagi memastikan pihak yang dihubungi adalah dipercayai sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Oleh itu, pengguna digalakkan mengamalkan sikap berbelanja bijak bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau mendapatkan nasihat berkaitan kepenggunaan boleh menghubungi Talian Rasmi PPS di 017-710 9299.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU