KUCHING: Senario penipuan pekerjaan di Sarawak terus meningkat tahun ini, sekali gus menjadi kebimbangan pihak berkuasa walaupun kes ini sudah diwar-warkan secara meluas khususnya melibatkan 40 anak Sarawak yang menjadi mangsa di Kemboja pada Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata sehingga 6 Mei ini, sebanyak 35 kes telah dilaporkan dan disiasat melibatkan 24 orang lelaki dan 11 orang wanita, dengan kerugian sebanyak RM51,000.

Katanya berbanding sepanjang tempoh tahun lepas, jumlah penipuan pekerjaan yang direkodkan hanya 38 kes manakala pada tahun 2017 sebanyak 30 kes.

“Kes penipuan pekerjaan ini adalah bermula dari mangsa sendiri, yang terlalu cuai.

“Oleh sebab itu, kami memberi amaran kepada masyarakat di Sarawak supaya tidak begitu mudah menerima satu-satu tawaran pekerjaan yang bergaji lumayan terutama melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai kes penipuan pekerjaan bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komunti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus dan pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad.

Menurut Mustafa, dua orang sudah dituduh setakat ini kerana terlibat dalam sindiket penipuan pekerjaan di Sarawak, dengan salah seorang adalah di kalangan 40 mangsa yang dibawa balik dari Kemboja.

Pada masa sama, beliau berkata polis mempunyai lima lagi kertas siasatan yang dijangka disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya mempunyai bukti-bukti cukup untuk pertuduhan, kami akan mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya.

Mustafa juga menegaskan bahawa pihaknya akan memerangi habis-habisan jenayah ini, walaupun kedudukan jenayah komersial di Sarawak adalah yang kelapan tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Fatimah mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan dengan gaji dan kemudahan yang lumayan.

“Penipuan pekerjaan berlaku apabila mangsa terpedaya dengan tawaran online palsu, dengan gaji dan kemudahan yang lumayan.

“Mangsa telah membayar sejumlah wang kepada suspek namun pekerjaan yang dijanjikan tidak wujud,” katanya.