KUCHING: Suami menyiku muka isteri gara-gara menghalang daripada memarahi anak mereka terima padah dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini,hari ini.
Awang Faridd Shah Awang Zainuddin, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Alwi.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 45 tahun dalam sebuah rumah di Kampung Rampangi, sekitar jam 4.14 petang, 17 September lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun yang sama.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu berada dalam bilik tidur terdengar suaminya sedang memarahi anak mereka.
Pengadu cuba menenangkan tertuduh namun tertuduh bertindak agresif dengan menyiku muka pengadu sehingga menyebabkan pendarahan di bahagian telinga.
Bimbang akan keselamatan diri dan anaknya, pengadu bertindak melaporkan kejadian kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Pada 18 September, pihak polis berjaya menangkap tertuduh yang mengurung diri dalam sebuah kereta.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan tangan.
Selain itu, laporan pemeriksaan doktor mengesahkan pengadu mengalami kecederaan tisu di muka dan telinga.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

