KUCHING: Seorang pembantu kantin wanita dari Kampung Selang Ulu, Jalan Matang yang berdepan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan rotan kerana mengedar dadah bakal menerima hukuman baharu lebih ringan.
Perayu berusia 26 tahun mengaku bersalah memiliki dadah di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan dijatuhi hukuman selama 10 tahun penjara serta 10 sebatan rotan.
Mahkamah Rayuan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh tangkap pada 5 April 2017.
Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Ravintrhran A/L Paramaguru Datuk Indera Mohd Sofian Tan Sri Abd. Razak sebulat suara mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi bagi kes pengedaran dadah terdahulu membuat kesilapan dalam proses penghakiman walaupun tertuduh menjalani perbicaraan penuh.
Mahkamah Rayuan mengarahkan pihak pendakwaan merangka pertuduhan yang baharu bagi perayu dan setelah pertuduhan dibaca perayu terus mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Tertuduh memiliki dadah jenis ganja seberat 248 gram pada jam 10.30 pagi di hadapan rumahnya di Kampung Selang Ulu, Jalan Matang pada 5 April 2017.
Perayu diwakili peguam Osman Ibrahim dibantu Eqa Radzali.