ARTIKEL

Nanta merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak.

Penjara Sibu baharu dijangka siap Februari 2029

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan meluluskan pembinaan penjara baharu bernilai RM275.33 juta di Sibu bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah beroperasi lebih 100 tahun, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek pembinaan Penjara Sibu itu akan dilaksanakan secara reka dan bina dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan, dan disasarkan siap sepenuhnya pada Februari 2029.

Menurutnya, penjara sedia ada tidak lagi mampu memenuhi keperluan semasa dari segi kapasiti, keselamatan dan aspek pemulihan prospek, sekali gus menjadikan pembinaan fasiliti baharu sebagai satu keperluan mendesak.

“Penjara baharu berkenaan direka untuk menampung sehingga 1,000 prospek dan dijangka mampu mengurangkan kadar residivisme sebanyak 2.38 peratus serta mengurangkan kesesakan penjara di Sarawak sehingga 19 peratus,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Kapit itu, tahap kesiapsiagaan kakitangan penjara juga dijangka meningkat sebanyak 29 peratus melalui penyediaan kuarters yang mencukupi dalam kompleks penjara berkenaan.

Beliau turut menegaskan kepada kontraktor yang menerima Surat Setuju Terima (SST) supaya memastikan projek disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang lanjutan masa (EOT), selain mematuhi aspek pengurusan dan keselamatan tapak pembinaan.

Nanta juga mengingatkan pasukan Jabatan Kerja Raya agar sentiasa proaktif memantau kemajuan projek dengan mengamalkan pendekatan “memudah cara, bukan menyulitkan”, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU