Penjara tiga bulan kerana mencuri basikal

MIRI: Gara-gara mencuri basikal, dua rakan subahat dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Kedua-dua tertuduh Raymond Peter, 29, dan Andry Benedict, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Md Syafique Md Hilmie.

Menurut pertuduhan, Raymond dan Andry didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Jalan Limau 2-1, Pujut 5 di sini, sekitar jam 3 pagi pada 31 Januari lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Khairi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Hubert Humphrey mendapati basikal miliknya diletakkan di hadapan rumah hilang.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM800 sebelum memaklumkan perkara itu kepada penduduk setempat.

Sekitar jam 1 petang hari sama, dua suspek akhirnya berjaya ditangkap oleh Unit Peronda Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak