Penjawat awam boleh bekerja dari rumah jika dapat arahan

PUTRAJAYA: Pegawai perkhidmatan awam persekutuan boleh bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan daripada kerajaan atau diarahkan ketua jabatan masing-masing melalui pelaksanaan dasar BDR yang berkuat kuasa 1 Jan 2021, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020 bertarikh 21 Dis lepas, beliau berkata pegawai boleh juga bekerja dari rumah jika mendapat kebenaran ketua jabatan masing-masing dan dalam keadaan tertentu, Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh mengarahkan mana-mana pegawai untuk BDR demi kepentingan perkhidmatan.
Pekeliling itu turut menyertakan garis panduan mengenai tujuan dan arahan BDR yang boleh dipertimbangkan iaitu untuk mengurangi atau mengelakkan kerugian, kerosakan atau kemusnahan atas sebab seperti pencemaran alam sekitar, penularan penyakit berjangkit atau bencana alam yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam sama ada di pejabat, premis atau kawasan tempat kediaman.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Foto Bernama

Situasi yang boleh dipertimbangkan antaranya pegawai tidak dapat hadir ke pejabat kerana kediaman termasuk dalam kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan yang menyebabkan pergerakannya terhalang.
Pejabat pegawai perlu dikosongkan kerana mengalami serangan kulat atau serangga atau kerosakan struktur atau pejabat pegawai diwartakan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin atau lain-lain kegunaan bagi menangani isu tertentu.
BDR juga boleh dipertimbangkan untuk mengelakkan berlaku kemudaratan, kesukaran atau keadaan serba salah, seperti kehadiran pegawai di pejabat boleh menyebabkan wujudnya percanggahan kepentingan peribadi yang memungkinkan kebocoran maklumat atau membawa penglibatan pengaruh luar.
Ia juga dipertimbangkan bagi mewujudkan keseimbangan dan kesejahteraan antara keperluan agensi dan keperluan pegawai menguruskan hal persendirian dalam situasi pegawai tidak dibenarkan menggunakan kemudahan cuti, contohnya keperluan menjaga anak-anak berusia 12 tahun dan ke bawah akibat penutupan taska atau pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah rendah disebabkan, antara lain atas arahan kerajaan.
Menurut Mohd Khairul Adib, dasar BDR memperuntukkan pegawai melaksanakan tugas hakiki atau tugas rasmi lain dari rumah pada hari bekerja.
“Ia boleh dilaksanakan sama ada secara penuh atau separuh hari bagi sesuatu tempoh mengikut kesesuaian, tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan awam dan diambil kira sebagai hadir bertugas,” katanya.
Pegawai yang diarah atau dibenarkan BDR perlu mematuhi peraturan ditetapkan antaranya sentiasa berada di rumah sebagai tempat bekerja dalam tempoh yang ditetapkan dan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh, hari dan waktu bekerja, katanya.
Mohd Khairul Adib berkata pegawai berkenaan juga perlu sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain yang diarahkan ketua jabatan dalam tempoh yang munasabah.
“Pelaksanaan BDR hendaklah dipastikan tidak akan menjejas atau menyebabkan penyusutan kualiti penyampaian perkhidmatan dan prestasi kerja pegawai. Ketua jabatan hendaklah menetapkan dan memantau pencapaian tugasan pegawai yang BDR,” katanya.
Bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti, Mohd Khairul Adib berkata pegawai yang diarah atau dibenarkan untuk BDR hendaklah mengemukakan maklumat mengenai alamat rumah sebagai tempat bekerja semasa BDR dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dalam pekeliling itu.
Menurutnya, dasar BDR diwujudkan sebagai alternatif cara bekerja baharu dalam perkhidmatan awam dalam usaha berterusan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dan keperluan mengimbangi keperluan tugas dan kesejahteraan pegawai.
 

Suara Sarawak