Penjawat awam elak terbabit gerakan antivaksin – KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengingatkan penjawat awam mengelak daripada terbabit dengan gerakan atau kumpulan antivaksin.

Beliau berkata, mereka yang didapati berbuat demikian termasuk membuat, menerbit atau mengedar kenyataan, khabar angin atau berita berhubung antivaksin, boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, jika sabit kesalahan, penjawat awam berkenaan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Penjawat awam tidak boleh terbabit dalam gerakan antivaksin kerana tindakan itu menyalahi undang-undang.

“Sebaliknya, saya mengajak penjawat awam mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi COVID-19 ini dapat membantu membasmi wabak ini, seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Perdana Menteri di sini.

Mohd Zuki adalah antara penerima vaksin COVID-19 yang melengkapi dos beliau dengan suntikan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Februari dan dos kedua pada 18 Mac lalu.

Kumpulan antivaksin hari ini dilihat menjadi ancaman terhadap program vaksinasi COVID-19 negara kerana mereka dikesan mengeluarkan dakwaan dan berita tidak benar berhubung keberkesanan vaksin.

Suara Sarawak