KUCHING: Penjawat awam diseru untuk menyertai Persidangan Ilmu Antarabangsa (IKC) 2026 yang dilihat sebagai platform strategik untuk memperkasa pembangunan profesional.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, IKC 2026 melengkapkan penjawat awam dengan kompetensi praktikal bagi tadbir urus yang bersedia menghadapi masa depan, pengurusan data dipercayai serta penyampaian perkhidmatan digital.
“Penjawat awam memproses data negeri dan awam setiap hari, sekali gus menjadi penggerak utama kepada Pelan Ekonomi Digital Sarawak.

“Bagi menjayakan transformasi ke arah kerangka Kerajaan Pintar, kakitangan kita perlu memperkukuh kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keterangkuman digital dan tadbir urus rekod supaya dapat menterjemahkan infrastruktur berteknologi tinggi kepada nilai awam yang dipercayai dan proaktif.
“Saya menyeru secara langsung kepada semua penjawat awam kerajaan negeri, warga kementerian serta ketua-ketua jabatan untuk mendaftar dan hadir secara aktif dalam persidangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena IKC 2026 di Pejabat Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat di Menara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan penyertaan agensi kerajaan, penyelidik, pustakawan, arkivis, profesional muzium dan galeri, penggubal dasar, ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi serta wakil industri.
“Kita mahu rakyat Sarawak menjadi pencipta yang aktif dan penilai kritikal maklumat digital, bukannya pengguna pasif alat AI yang tidak dikawal selia,” ujarnya.
Sementara, Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada pakar dan delegasi serantau dari tiga negara utama iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi IKC 2026 yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak.
Program yang berlangsung pada 23 hingga 26 November 2026 di The Waterfront Hotel bakal menampilkan 17 pembentangan kertas profesional, 100 pembentangan poster penyelidikan dan 20 pameran teknologi canggih yang mengetengahkan penyelesaian inovatif.

