KUCHING: Penstrukturan semula Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) termasuk komposisi lembaga dengan pelibatan lebih ramai pakar dan wakil kerajaan memperkukuh tadbir urus ekonomi negeri ini.
ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, di bawah Fasal 4, komposisi perbadanan diperluas dan diperkukuh melalui penyertaan, Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakilnya, wakil daripada Kementerian Ekonomi Persekutuan, Peguam Besar Negeri atau wakilnya, Setiausaha Kewangan Negeri atau wakilnya dan beberapa ahli yang mempunyai kepakaran dalam pertanian, industri, perdagangan, kewangan, sains dan sektor berkaitan.
Menurutnya, reformasi ini sangat penting kerana pembangunan ekonomi hari ini tidak lagi terhad kepada satu sektor.
“Tadbir urus ekonomi moden memerlukan integrasi antara dasar undang-undang, pengurusan fiskal, perancangan industri, inovasi teknologi dan strategi pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan SEDC 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Wilson berkata, pindaan ini mengiktiraf realiti tersebut dan ia menginstitusikan kepakaran.
Jelasnya, jika Sarawak benar-benar mahu menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi, maka institusi ekonomi mesti dipacu bukan sekadar pentadbiran, tetapi oleh kompetensi, profesionalisme dan keupayaan strategik.
Tambahnya, komposisi baharu ini mewujudkan ekosistem tadbir urus yang lebih holistik dalam perbadanan.
“Saya menyambut baik penyertaan golongan profesional dan individu yang mempunyai kepakaran khusus.
“Ini amat penting kerana pembangunan ekonomi hari ini semakin berasaskan pengetahuan.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada struktur birokrasi tradisional jika kita benar-benar mahu Sarawak bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau berharap kaedah dan proses yang digunakan adalah adil, inklusif, telus dan berasaskan merit.
Katanya, kredibiliti dan keberkesanan perbadanan ini akhirnya bergantung bukan sahaja kepada kuasa yang diperuntukkan dalam ordinan ini, tetapi juga kepada kualiti, integriti dan kompetensi individu yang diberi amanah untuk memimpin dan menasihatinya.
“Pelantikan profesional tidak boleh bersifat simbolik semata-mata, tetapi perlu benar-benar mencerminkan kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan perspektif yang mampu menyumbang secara bermakna kepada kepentingan ekonomi jangka panjang Sarawak.
“Kita memerlukan institusi yang tangkas, profesional, berorientasikan komersial, celik teknologi dan diurus secara strategik,” katanya lagi.

