SIBU: Pentadbiran cekap dan berkesan tidak dapat dicapai begitu sahaja tanpa kerjasama erat antara ahli majlis perbandaran dengan agensi kerajaan tempatan.
Inilah penekanan yang diberikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau menegaskan bahawa penyelarasan yang mantap antara pihak berkuasa tempatan adalah kunci dalam usaha memperkasakan dasar kerajaan, menghapuskan kerenah birokrasi serta mempertingkat mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“Kehendak rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita.
“Setiap dasar yang digubal harus mencerminkan aspirasi mereka, dan setiap tindakan kita harus berpandukan kepada keperluan sebenar masyarakat,” ujarnya.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, komunikasi yang lancar dan penyelarasan yang kukuh antara pentadbiran tempatan adalah asas kepada sebuah kerajaan yang responsif.
Oleh itu, King Sing menekankan keperluan untuk membentuk budaya perundingan terbuka, diskusi yang telus serta komunikasi dua hala yang berkesan agar suara rakyat tidak hanya didengar, tetapi diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), di sini pada malam tadi.
Sebagai Presiden PDP, King Sing turut menegaskan bahawa keterlibatan langsung dengan rakyat bukan sekadar keperluan, tetapi satu kewajipan bagi sebuah kerajaan yang benar-benar berfungsi demi kepentingan masyarakat.
“Kerajaan yang mendengar dan bertindak balas terhadap suara rakyat adalah kerajaan yang menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.
“Dengan mendekati mereka secara langsung, kita dapat memastikan bahawa setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar berpaksikan kepada keperluan masyarakat dan dapat membawa penyelesaian yang praktikal serta berimpak tinggi,” jelasnya, yang juga ADUN Dudong.
Majlis yang dihadiri lebih 400 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan itu bukan sekadar sebuah jamuan perayaan, sebaliknya berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh penyelarasan pentadbiran, mempertemukan idea serta menyatukan visi ke arah membina Sibu yang lebih progresif, inklusif dan lestari.
“Saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus kepada semua pegawai kerajaan, pemimpin komuniti serta penyokong setia yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah.
“Kesungguhan dan komitmen anda dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat adalah sesuatu yang amat dihargai,” tambahnya.
Selain itu, King Sing turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh ahli majlis bandar raya, pegawai kerajaan tempatan daripada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), agensi kerajaan, setiausaha politik serta pemimpin parti dalam pembangunan Sibu.

