MUKAH: Penganjuran Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Pusingan Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023 dilihat sebagai landasan terbaik bagi mengenal pasti pemain muda berbakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Katanya, bakat tersebut boleh diketengah ke peringkat yang lebih tinggi mengambil kira himpunan pemain muda yang mewakili lapan pasukan terbaik dari empat zon berbeza.
“Pengelolaan kejohanan ini merupakan langkah yang tepat dengan kerana kita akan dapat mengenal pasti pemain muda berbakat.
“Sekali gus, dapat menjadi pendekatan terbaik dalam merangka atau membentuk pasukan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusingan Akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023 di Stadium Mukah petang semalam.
Menjelas lanjut, katanya penganjuran kejohanan ini mengimbau kembali kejohanan ‘Piala Taib’ yang kali dianggap salah satu kejohanan berprestij di Sarawak.
Dengan pada masa sama cuba mengimbau zaman kegemilangan Mukah yang pernah bergelar juara pada tahun 2004.
Beliau turut menzahir ucapan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang berjaya mengelola kejohanan untuk peringkat umur tersebut.
“Kerjasama dua badan induk ini (SSC & FAS) sememangnya memberi impak yang cukup berkesan untuk meneruskan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini,” tambah beliau.
Sebelum itu, Royston turut memberitahu, Mukah antara salah satu gelanggang bagi acara bola sepak peringkat kumpulan bagi Sukma XXI 2024.
Oleh yang demikian, secara tidak langsung pemain yang turut serta dalam kejohanan ini akan dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang yang ada seandainya mereka terpilih mewakili Sarawak kelak.



