CABARAN Drag Kuching 2023 yang berlangsung di Litar Sementara Perindustrian Demak baru-baru ini rancak dengan penyertaan penggiat sukan permotoran.
Perlumbaan yang dinanti-nantikan itu turut berjaya menarik minat kira-kira 1,000 peminat pelbagai peringkat umur.
Beberapa kategori melibatkan pelbagai kelas dari A hingga P.
Jurucakap Cabaran Drag Kuching 2023, Fadillah Sulaiman berkata, saingan kali ini menghimpunkan beberapa kategori kelas A hingga F dan kelas E hingga P dengan jarak perlumbaan 402 meter untuk pecut dan 600 meter untuk brek.
“Jarak perlumbaan adalah 402 meter untuk pecut dan 600 meter untuk brek,” kata Fadillah kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata, hadiah wang tunai RM800, RM400 dan RM300 selain piala ditawarkan pemenang kategori A hingga kategori F. Piala pula diberikan kepada pemenang kategori G hingga kategori P. Fadillah yang juga Setiausaha Kelab Permotoran D1 menjelaskan, perlumbaan berkenaan dianjurkan Kelab Sukan Bermotor Prestasi Batu Kawa.
“Objektif penganjuran perlumbaan adalah untuk memberi peluang kepada pelumba terlibat mengetengahkan bakat masingmasing.
“Langkah diketengahkan Kelab Sukan Bermotor Prestasi Batu Kawa menganjurkan perlumbaan tersebut sangat tepat.
“Sekurang-kurangnya ia menjadi landasan kepada peserta melepaskan keinginan menguji keupayaan mengendali jentera masing-masing,” jelasnya.
Menurutnya, perlumbaan tersebut secara tidak langsung menyemai minat golongan sasar terhadap sukan permotoran. Ia sekali gus mampu melahirkan jaguh sukan permotoran di negeri ini pada masa akan datang.
Kategori A (Turbo Open) diungguli Tyjay Lee Bin manakala Mazlan Udin dan Sim Kian Yii menduduki tempat kedua dan ketiga. Kategori B (2WD Turbo Open) pula menyaksikan kehebatan Iwan Azriman Abdul Jalil.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing milik Kam Taim Hock dan Liew Yien Ted.
Iwan turut cemerlang dalam kategori C (V-TEC NA Open) manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Maurice Tyrone dan Choo Ho Chin.
Bagi Kategori E (K-Kar Turbo Street), tempat pertama milik Adam Ibrahim sementara Ismawandi Kipli dan Sam Sonet sekadar berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.
Untuk Kategori F (Diesel Turbo Challenge Open), gelaran juara menjadi milik Tang Sang Teck, tempat kedua, Lavin Kuan Kui Kien dan Augustur Wong menduduki tempat ketiga.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Persatuan Sukan Permotoran Sarawak, Datuk Ahmad Ibrahim.





