KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan integriti institusi di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, dalam sistem parlimen moden, jawatankuasa berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan mekanisme penting untuk memastikan ketelusan, pengawasan yang berkesan serta penelitian sewajarnya terhadap dasar, pelaksanaan, perbelanjaan awam dan pentadbiran kerajaan.
“Hari ini rakyat semakin berpendidikan dan mempunyai akses luas kepada maklumat. Mereka mengharapkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sahaja membahaskan isu, tetapi juga berfungsi sebagai institusi yang berwibawa dalam memantau prestasi kerajaan secara profesional dan berkesan.
“Sebab itu saya percaya penubuhan jawatankuasa ini tepat pada masanya dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya ketika membahaskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Seksyen 42(3), Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, terdapat pelbagai isu yang memerlukan penelitian lebih mendalam serta mekanisme susulan tersusun termasuk bekalan air luar bandar, projek jalan raya tertangguh, kelemahan pelaksanaan, ketersambungan digital, penyampaian perkhidmatan awam, penyelarasan projek Persekutuan, perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain isu tadbir urus melibatkan sumber semula jadi serta minyak dan gas.
“Kadang-kadang perkara ini terlalu teknikal dan kompleks untuk diselesaikan hanya melalui soalan lisan serta perbahasan biasa. Justeru, melalui jawatankuasa tersebut, Dewan ini boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dan substantif.
“Jawatankuasa itu boleh memanggil kementerian dan agensi untuk memberi penjelasan, meneliti laporan teknikal secara terperinci, melibatkan pakar dan pihak berkepentingan, mengadakan konsultasi awam serta mencadangkan penambahbaikan institusi kepada kerajaan sekali gus menjadikan DUN Sarawak lebih dinamik, dihormati dan berorientasikan dasar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik Unit Kementerian Integriti dan Ombudsman yang membawa usul disifatkan mencermin kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus baik serta kredibiliti institusi.
Katanya, dalam konteks Sarawak, langkah tersebut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan penyampaian perkhidmatan awam cekap, reformasi institusi, ketelusan, inovasi serta tadbir urus bertanggungjawab.
Menurutnya, jawatankuasa itu juga penting dalam meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Apabila dapatan dan syor dibahaskan secara terbuka melalui pengawasan legislatif, rakyat akan melihat bahawa kerajaan bersedia menerima penelitian dan komited terhadap penambahbaikan berterusan.
“Saya juga melihat Jawatankuasa Pilihan Khas ini sebagai platform yang boleh membawa suara rakyat ke dalam kerangka tadbir urus kerajaan sekali gus dapat meneliti isu yang memberi kesan kepada rakyat Sarawak secara lebih menyeluruh, khususnya melibatkan kelewatan projek, kelemahan pelaksanaan, birokrasi, infrastruktur luar bandar serta sistem penyampaian,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, reformasi tadbir urus tidak boleh hanya memberi manfaat kepada kawasan bandar semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan realiti dan aspirasi masyarakat luar bandar di Sarawak.
“Saya berharap jawatankuasa ini bukan sekadar jawatankuasa simbolik tanpa impak. Ia mesti aktif, diperkasakan dan dihormati serta mempunyai fungsi yang jelas, kuasa pemantauan sewajarnya, laporan berkala, pelibatan pihak berkepentingan termasuk mekanisme susulan yang berkesan.
“Jika tidak, rakyat akan melihatnya sekadar satu lagi struktur pentadbiran tanpa nilai sebenar. Jadi, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah tersebut,” tegasnya.

