KUCHING: Sekiranya Tanah Tinggi Borneo dibangunkan seperti pusat peranginan Genting Highland yang menawarkan tarikan kasino, ia dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, secara tidak langsung ia mampu menarik lebih ramai pelabur swasta ke Sarawak.
“Saya menyokong dan bersetuju dengan idea penubuhan kasino di Tanah Tinggi Borneo. Malah saya masih ingat dahulu Singapura pernah menentang penubuhan kasino, namun akhirnya mereka membenarkannya dibina di negara tersebut dan sekarang ia berkembang pesat.
“Justeru, tidak ada salahnya kita membina kasino di sini. Tetapi ia harus mempunyai garis panduan tertentu untuk mengawal industri perjudian tersebut di negeri ini,” katanya.
Adun Tarat itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Graduan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) – Persatuan Siswazah Bidayuh (BGA) 2023 di dewan serbaguna DBNA di sini, hari ini.
Beliau juga berkata tidak ada salahnya jika hiburan sedemikian ditubuhkan di negeri ini.
“Mereka yang tidak tahu berjudi atau tidak dibenarkan berjudi, jangan berjudi.
“Kita berada dalam dunia yang bebas… Tetapi mereka mempunyai banyak wang untuk berjudi, boleh meneruskannya,” ujarnya.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan kawasan Padawan menjadi Genting Highlands kedua di negara ini.
Namun katanya, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Kerajaan Sarawak untuk menentukan sama ada kasino boleh dibina dan beroperasi di sana.



