KUCHING: Sarawak bakal memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat kepelbagaian biodiversiti dunia dengan penubuhan pangkalan data lengkap melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pendekatan yang menggabungkan data hutan hujan dengan kekayaan ekosistem Sarawak itu akan membuka peluang ekonomi baharu melalui perkongsian maklumat secara global.
“Kita adalah pusat biodiversiti dunia, dan langkah pertama yang perlu diambil adalah mengumpul, menggabung dan menyelaras semua data berkaitan.
“Saya telah meminta Pengerusi Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Tan Sri George Chan, untuk mengkaji kebolehlaksanaan usaha ini, yang menyatukan semua maklumat biodiversiti di bawah satu pangkalan data,
” ujarnya.
“Kita akan manfaatkan AI untuk mengurus dan menganalisis data ini, seterusnya berkongsi maklumat tentang kekayaan biodiversiti Sarawak dengan dunia, dan menjadikannya sebagai sumber ekonomi baharu.”
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, malam tadi.
Beliau turut menekankan kepentingan Sarawak untuk mendaftarkan hak dan paten terhadap sumber biodiversiti negeri agar kekayaan semula jadi ini dilindungi dan dimanfaatkan dengan cara yang menguntungkan.
“Apabila orang ramai memuat turun maklumat ini, ia tidak akan diberikan secara percuma.
*Ini bermaksud, seluruh dunia dengan jumlah penduduk sekitar lapan bilion akan mempunyai akses kepada data tersebut.
“Kita juga perlu mendaftarkan paten serta hak kita terhadap sumber biodiversiti ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut berkongsi bagaimana teknologi AI kini memainkan peranan besar dalam bidang perubatan, khususnya dalam era digital yang semakin berkembang.
Mengambil contoh pengalaman semasa merasmikan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) fasa satu, beliau memberitahu bagaimana beliau sendiri menyaksikan kelebihan penggunaan peranti perubatan berasaskan AI.
“Peranti ini mampu mengimbas pesakit seperti kod QR.
“Teknologi AI kemudian akan menganalisis tubuh dan mengesan sebarang masalah kesihatan, malah mencadangkan penyelesaian, perubatan dan rawatan yang sesuai.
“Apa yang ingin saya sampaikan ialah, peranti dan penyelesaian perubatan kini sangat bergantung kepada AI.
“Ia bakal merevolusikan sektor kesihatan dengan menjadikan diagnosis lebih pantas, tepat dan efisien.
“Oleh itu, kita memerlukan cip pintar untuk membangunkan Model Bahasa Bagi Aplikasi Dialog (LaMDA) yang lebih maju, berdasarkan kandungan perbualan dan data yang diperoleh,” tambahnya.


