SPAOH: Kemalangan membabitkan van dan kereta jenis Perodua Axia berhampiran simpang menuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh menyebabkan seorang penumpang cedera.
Dalam kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh, insiden berkenaan dimaklumkan oleh orang awam yang dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Tiga anggota skuad Charlie segera ke lokasi dan sebaik tiba, terus dilakukan Tinjauan Badan Pantas (RBS) ke atas semua pemandu dan penumpang.
“Hasil pemeriksaan, penumpang Axia cedera lebam di bahagian kaki kanan,” katanya, hari ini.
Jelasnya, mangsa diberikan bantuan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Spaoh.
Sementara itu, pemandu kedua-dua kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

