PADAWAN: Seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Mambong-Seratau, kira-kira jam 9.10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, mangsa yang menunggang bersendirian meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
“Pasukan paramedik yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan proses pengecaman oleh waris, manakala pemandu pacuan empat roda berusia 34 tahun tidak cedera.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

