ASAJAYA: Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian pinggul selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori enam tan berhampiran Masjid Baru Kampung Semera Lot Baru di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 11.08 pagi itu, mangsa dilaporkan terjatuh selepas dirempuh lori berkenaan sebelum orang awam segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi dengan sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Navara.
“Pasukan tiba kira-kira tujuh minit kemudian dan mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan cedera di bahagian pinggul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah jurucakap itu, mangsa segera dipindahkan ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Asajaya yang turut berada di lokasi.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Asajaya untuk menerima rawatan kecemasan, manakala lori dan motosikal terbabit dialihkan bagi memastikan lalu lintas tidak terganggu.
“Komander Operasi, PBK I Nor Aini Usop yang mengetuai misi berkenaan menamatkan operasi sepenuhnya pada 11.30 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan terkawal.
“Tindakan pantas dan kerjasama pelbagai agensi penyelamat membolehkan mangsa diberi rawatan segera, sekali gus mengelakkan kecederaan lebih serius.
“Orang awam diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan kampung terutama berhampiran masjid yang menjadi tumpuan penduduk, bagi mengelakkan tragedi tidak diingini berulang,” jelasnya.



